Pakej utama projek MRT3 akan diumumkan separuh kedua 2023, ramal AmInvestment
Dagang News
Februari 9, 2023 12:50 MYT
Februari 9, 2023 12:50 MYT
KUALA LUMPUR: AmInvestment Bank Research menjangkakan pakej tender utama dan subkontrak bagi projek Transit Aliran Massa 3 (MRT3) akan diumumkan pada separuh kedua 2023.
Ia membabitkan tiga pakej kerja awam iaitu CMC301 (5.8 kilometer bertingkat), CMC302 (28 kilometer bertingkat dan 0.7 kilometer di bawah tanah) dan CMC303 (6.3 kilometer bertingkat dan 10.1 kilometer di bawah tanah).
Setelah selesai kajian mengenai cadangan penjajaran dan kesesuaian penjajaran semula, MRT Corp akan menjalankan pemeriksaan awam skim kereta api MRT3 untuk tempoh tiga bulan.
Menurut firma itu, tender baharu mungkin tidak diperlukan walaupun terdapat kebarangkalian penjajaran semula.
Jelasnya, meskipun terdapat potensi penjajaran semula membuka kemungkinan semakan semula tanda harga yang lebih besar, namun, risiko itu dapat dikurangkan memandangkan struktur inisiatif kewangan swasta (PFI) MRT3.
"Selain itu, projek MRT3 ini pernah ditangguhkan pada 2018 dan disemak semula sebelum diluluskan oleh Kabinet pada 2021. Bagaimanapun, kami tidak menolak kemungkinan berlaku pengurangan.
"Ketika ini, kos pembinaan bagi landasan keretapi sepanjang 50.8 kilometer ini dianggarkan berjumlah RM34.3 bilion," katanya dalam nota kajian hari ini.
Pada 2018, kerajaan Pakatan Harapan mengurangkan kos untuk MRT2 sebanyak RM8.8 bilion, atau 22% kepada RM30.5 bilion.
Antara faktor di sebalik penjimatan kos adalah penukaran kepada model turnkey untuk menjimatkan yuran rakan kongsi penyampaian projek (PDP), rasionalisasi dalam peruntukan bayaran balik, kontingensi dan jumlah sementara, penangguhan dua stesen Bandar Malaysia dan rasionalisasi skop untuk kerja sistem elektrik dan mekanikal.
Hanya beberapa bulan selepas kajian semula projek tebatan banjir, MRT Corp sedang menjalankan kajian terperinci dan komprehensif mengenai cadangan penjajaran MRT3, termasuk kesesuaian penjajaran semula.
Secara keseluruhan, AmInvestment mengekalkan pandangan 'neutral' terhadap sektor pembinaan dan berhati-hati terhadap pemampatan margin yang timbul daripada rejim tender terbuka beserta kos bahan binaan yang dijangka lebih tinggi.
Menurutnya, walaupun skala MRT3 mungkin dikecilkan, penganugerahan projek itu masih akan memberikan sokongan kepada sektor pembinaan.
"Kami mungkin menaik taraf sektor ini jika kerajaan meneruskan projek infrastruktur awam utama atau margin keuntungan operasi syarikat bertambah baik dengan kos yang lebih rendah.
"Sebagai alternatif, kami mungkin menyemak turun penarafan sektor ini jika pemampatan dalam margin operasi lebih teruk daripada yang dijangkakan, ditambah pula dengan penangguhan projek mega," jelasnya.
Firma itu turut mengambil langkah berhati-hati terhadap jangkaan perbelanjaan pembangunan sebanyak RM95 bilion akan dikurangkan dalam pembentangan Bajet 2023.
Ini kerana katanya, kedudukan fiskal kerajaan berada dalam keadaan tegang disebabkan kesan ekonomi akibat pandemik COVID-19 dan perbelanjaan bantuan secara besar-besaran.
"Oleh itu, pelancaran projek infrastruktur awam pada masa hadapan mungkin akan menerima pakai struktur PFI yang akan mengurangkan perbelanjaan modal segera daripada kerajaan.
"Bagaimanapun, kontraktor perlu mengambil risiko pembiayaan tambahan untuk mengambil bahagian dalam projek berasaskan PFI ini," katanya.
Ia juga menjangkakan aliran kerja pembinaan akan kembali mencatat pemulihan terutamanya terutamanya projek yang lebih kecil di Sabah, Sarawak dan Semenanjung Malaysia Barat.
Berdasarkan data Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB), projek yang dianugerahkan setakat ini hanya berjumlah RM2.1 bilion (membabitkan kerajaan: RM500 juta dan swasta: RM1.6 bilion) berbanding RM135 bilion pada 2022. - DagangNews.com