Pakej rangsangan Pemerkasa PLUS dorong Bursa Malaysia dibuka tinggi pagi ini

Bernama
Jun 1, 2021 11:01 MYT
Pada jam 9.01 pagi, indeks penanda aras FBM KLCI meningkat 2.38 mata atau 0.15 peratus kepada 1,585.93 daripada 1,583.55 pada penutupan urus niaga Isnin. - BERNAMA
KUALA LUMPUR: Bursa Malaysia dibuka tinggi sedikit pagi ini dengan sentimen dirangsang oleh pengumuman pakej rangsangan PEMERKASA+ semalam bagi membantu perniagaan dan rakyat tatkala negara memasuki fasa sekatan pergerakan penuh hari ini.
Pada jam 9.01 pagi, indeks penanda aras FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) meningkat 2.38 mata atau 0.15 peratus kepada 1,585.93 daripada 1,583.55 pada penutupan urus niaga Isnin.
Indeks utama dibuka 2.19 mata lebih tinggi pada 1,585.74.
Pergerakan harga di pasaran positif dengan kaunter untung mengatasi rugi 200 berbalas 102 manakala 226 kaunter tidak berubah, 1,605 tidak diniagakan dan sembilan yang lain digantung.
Jumlah dagangan ialah 246.80 juta unit bernilai RM96.78 juta.
Menurut Malacca Securities Sdn Bhd, sentimen pasaran mungkin dibantu oleh pakej rangsangan PEMERKASA + yang diumumkan semalam menjelang perintah kawalan pergerakan penuh.
Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin pada lewat Isnin mengumumkan pakej rangsangan PEMERKASA Plus bernilai RM40 bilion dengan dengan tiga matlamat utama iaitu mempertingkatkan kapasiti kesihatan awam, meneruskan agenda prihatin dan menyokong kelangsungan perniagaan.
"Pelabur mungkin melihat minat membeli dalam sektor penting/perlu yang dapat beroperasi semasa tempoh PKP. Bagi komoditi, harga minyak sawit mentah jatuh di bawah paras RM4,000 sementara harga minyak naik melepasi US$69 setong, " kata firma broker itu dalam satu nota.
Ia berkata dengan pelaksanaan sekatan pergerakan penuh di seluruh negara, peniaga turut dijangka memberi fokus kepada sektor-sektor seperti saham pengangkutan dan logistik, pembungkusan dan pengguna penting.
"Selain itu, peniaga mungkin menyaksikan kegiatan membeli ketika harga saham murah di tengah-tengah harga minyak yang lebih tinggi berikutan penurunan ketara semalam. Dalam pada itu, tema berkaitan vaksin juga akan semakin meningkat selepas kerajaan berusahan mempercepat kemajuan vaksinasi, "kata Malacca Securities.
Sementara itu, Rakutan Trade Sdn Bhd berpendapat pasaran serantau akan kekal bercampur-campur hari ini.
"Di pasaran domestik, berikutan reaksi spontan semalam berikutan pengumuman sekatan pergerakan penuh, kami percaya pasaran akan kembali pulih hari ini, Justeru, kami menjangkakan FBM KLCI cenderung diniagakan dalam julat 1,590-1,600 hari ini, "katanya.
Dalam kalangan saham berwajaran tinggi, Maybank turun empat sen kepada RM8.14, Public Bank susut satu sen kepada RM4.20, PetChem dan IHH masing-masing naik lima sen kepada RM8.10 dan RM5.35.
Saham rugi utama lain termasuk BAT yang merosot 56 sen kepada RM15.20, Serba Dinamik turun 33.5 sen kepada 79.5 sen dan Hexza Corp lebih rendah sebanyak sembilan sen pada RM1.06.
Bagi saham cergas pula, Sunzen menambah empat sen kepada 29 sen, Focus Dynamics naik satu sen kepada 55 sen sementara Tanco tidak berubah pada 14.5 sen.
Di papan indeks, Indeks FBM Emas naik 16.35 mata kepada 11,512.16 dan Indeks FBMT 100 meningkat 17.06 mata kepada 11,215.65.
Indeks FBM Emas Syariah menambah 18.10 mata kepada 12,791.01, FBM 70 meningkat 23.33 mata kepada 14,786.23 dan FBM ACE naik 52.67 mata kepada 7,733.93.
Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan memperoleh 22.91 mata kepada 15,032.71, Indeks Perladangan naik 2.27 mata kepada 6,884.67 dan Indeks Produk dan Perkhidmatan Industri 0.47 mata lebih baik pada 191.33.
- BERNAMA
#Bursa Malaysia #Maybank #PLUS #PKP #harga minyak #vaksin #PEMERKASA #PEMERKASA Plus #Muhyiddin Yassin #perintah kawalan pergerakan #sekatan pergerakan penuh #minyak #syariah #peniaga #bank
;