Pakej rangsangan ekonomi perlu diteruskan walaupun lewat - Penganalisis

Bernama
Februari 25, 2020 14:58 MYT
Sejak penularan COVID-19 pada pertengahan Januari, indeks utama Bursa Malaysia, FBM KLCI susut 57 mata kepada 1,531.20 dan menyaksikan sektor pembuatan, pelancongan dan logistik terjejas. - Gambar fail
Ketidaktentuan politik yang mencetuskan kekalutan pada hujung minggu lepas, kini dilihat semakin reda selepas Tun Dr Mahathir Mohamad dilantik sebagai perdana menteri interim, semalam.
Bagaimana pun, berdasarkan senario politik semasa, kalangan perniagaan sebaliknya bimbang jika pakej rangsangan ekonomi yang dijadual diumumkan pada Khamis ini akan turut terjejas serta ditamatkan.
Bagi kalangan penganalisis, pakej yang bertujuan memacu ekonomi tempatan dalam persekitaran kelembapan ekonomi global akibat COVID-19 itu sememangnya amat diperlukan, lebih-lebih dalam keadaan sekarang.
"Kami percaya bahawa butiran pakej rangsangan itu telah pun diperhalusi sebelum kemelut politik itu berlaku. Malah, dari sudut ekonomi misalnya, kami yakin Dr Mahathir juga menyedari kepentingan pakej itu bagi melonjakkan ekonomi.
"Namun, berdasarkan perkembangan semasa, kami menjangkakan pengumuman mengenainya akan dibuat lebih lewat," katanya.
Sementara itu, Ketua Pakar Ekonomi Bank Islam, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata pakej rangsangan ekonomi itu diperlukan berkutan ketidaktentuan ekonomi yang terus ketara selain akibat faktor penyusutan perbelanjaan perniagaan serta pengguna.
"Jika perkara ini dibiarkan tanpa sebarang tindakan, ia akan memberi kesan terhadap agregat permintaan selain memburukkan lagi kelembapan ekonomi," katanya.
Mengulas rangsangan fiskal, beliau berkata Bank Negara Malaysia (BNM) setakat ini telah memainkan peranan dengan mengurangkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) sebelum ini dan dijangka disusuli dengan satu lagi penurunan pada Mac atau Mei ini.
"Saya percaya langkah semasa yang diambil oleh pihak bank pusat itu akan melengkapi usaha bagi memperkukuh ekonomi di masa depan," katanya.
Pada bulan lepas, BNM tanpa dijangka telah menurunkan OPR sebanyak 25 mata asas kepada 2.75 peratus - terendah sejak Mac 2011 dan menyifatkan masih ada ruang bagi penurunan berikutnya bagi merangsang pertumbuhan ekonomi.
Sejak penularan COVID-19 pada pertengahan Januari, indeks utama Bursa Malaysia, FBM KLCI susut 57 mata kepada 1,531.20 dan menyaksikan sektor pembuatan, pelancongan dan logistik terjejas.
Selepas kemelut politik itu dilihat reda dan sentimen keyakinan pulih semula, indeks penanda aras FBM KLCI tersebut naik 10.67 mata kepada 1,500.73 pada rehat tengah hari ini selepas susut 2.68 peratus atau 41.14 mata kepada 1490.06 mata, semalam.
Malah, sebagai membuktikan kepentingan pakej tersebut, Malaysia juga bukanlah satu-satunya negara ASEAN yang merancang memperkenalkan inisiatif sedemikian bagi menangani impak COVID-19.
Thailand misalnya, berhasrat membentangkan cadangan pakej rangsangan ekonomi baharu kepada Kabinet pada pertengahan Mac ini dengan harapan dapat memacu ekonomi negara itu pada bulan-bulan berikutnya.
Pakej itu yang meliputi pelancongan, perbelanjaan dan pelaburan, juga bertujuan merancakkan pelancongan domestik yang terjejas teruk akibat COVID-19.
Indonesia pula menerusi bank pusat, Bank Indonesia (BI) pada Khamis lepas, memutuskan untuk mengurangkan kadar asas bagi menampan impak akibat penularan virus itu terhadap ekonomi negara tersebut.
Dalam mesyuarat lembaga gabenornya selama dua hari, bank pusat berkenaan bertindak mengurangkan kadar faedah utamanya iaitu kadar repo berbalik tujuh hari BI sebanyak 25 mata asas kepada 4.75 peratus selepas mengekalkan kadar itu pada bulan lepas.
-- BERNAMA
#Bank Indonesia #Bank Islam #COVID-19 #ekonomi #kadar dasar semalaman #Mahathir Mohamad #Mohd Afzanizam Abdul Rashid #pelaburan #pelancongan domestik #Perdana Menteri Interim
;