Pakej galakan cukai tarik syarikat petrokimia, kimia tempatan dan antarabangsa ke PIPC

Bernama
Oktober 14, 2023 11:00 MYT
JPDC menzahirkan penghargaan dan ucapan terima kasih atas pengumuman Perdana Menteri mengenai penetapan PIPC sebagai hab pembangunan sektor kimia dan petrokimia.
JOHOR BAHRU: Pemberian pakej galakan cukai dapat menjadi tarikan dan meningkatkan daya saing Kompleks Petroleum Bersepadu Pengerang (PIPC) sebagai destinasi pelaburan, khususnya syarikat petrokimia dan kimia dari dalam serta luar negara.
Johor Petroleum Development Corporation Bhd (JPDC) menerusi kenyataan pada Jumaat berkata inisiatif itu antara lain bagi menempatkan operasi mereka di kompleks berkenaan, bertepatan hasrat kerajaan dalam membentuk ekosistem aktiviti ekonomi bernilai tinggi.
"Antara pelabur pemangkin yang kini beroperasi adalah Petroliam Nasional Bhd (Petronas) yang memajukan Kompleks Bersepadu Pengerang bersama rakan usahasama Saudi Aramco dan LG Chemical; Dialog Group Bhd yang memajukan Pengerang Deepwater Terminals berserta rakan usahasama seperti Royal Vopak, Petronas dan Kerajaan Negeri Johor; serta Johor Corporation yang memajukan Pengerang Industrial Park.
"Untuk fasa-fasa pembangunan PIPC seterusnya, JPDC mengalu-alukan penyertaan syarikat-syarikat penghasil produk kimia khusus dan pembuat produk berasaskan petrokimia," katanya.
Selain itu, JPDC turut menzahirkan penghargaan dan ucapan terima kasih atas pengumuman Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengenai penetapan PIPC sebagai hab pembangunan sektor kimia dan petrokimia.
Ia turut disertai dengan pemberian pakej galakan cukai dalam bentuk kadar cukai khas atau elaun cukai pelaburan yang diumumkan Anwar yang juga Menteri Kewangan dalam Belanjawan 2024 pada Jumaat.
PIPC adalah kawasan industri hiliran minyak dan gas dan industri petrokimia seluas 9,269 hektar di Pengerang, Kota Tinggi.
Sejak dibangunkan, kawasan industri menempatkan kemudahan seperti loji penapisan minyak, loji penghasilan petrokimia, terminal pengangkutan produk cecair, tangki-tangki penyimpanan minyak mentah dan produk petroleum cecair, loji penggasan semula serta prasarana dan kemudahan sokongan lain.
Pembangunan PIPC yang dirancang untuk dilaksanakan dalam tempoh 25 tahun, telah menerima pelaburan komited hampir RM140 bilion setakat pertengahan fasa kedua pembangunan (2020-2025).
-- BERNAMA
#PIPC #JPDC #Belanjawan 2024 #hab pembangunan sektor kimia dan petrokimia
;