Pakej bantuan banjir RM1.4 bilion tidak mencukupi sokong isi rumah terjejas - MQ Research

Dagang News
Januari 14, 2022 09:04 MYT
MQ Research berpendapat bahawa pakej bantuan banjir bernilai RM1.4 bilion yang diumumkan kerajaan baru-baru ini mungkin tidak mencukupi untuk menyokong isi rumah yang terjejas. -Gambar fail/Bernama
KUALA LUMPUR: Macquarie Equities Research (MQ Research) berpendapat bahawa pakej bantuan banjir bernilai RM1.4 bilion yang diumumkan kerajaan baru-baru ini mungkin tidak mencukupi untuk menyokong isi rumah yang terjejas.
Firma penganalisis itu turut menjangkakan perbelanjaan fiskal tambahan akan diperlukan untuk bantuan bencana dan membina semula infrastruktur yang rosak.
"Media melaporkan kira-kira 70,000 orang telah kehilangan tempat tinggal akibat banjir, dengan 210 lokasi di enam negeri terjejas berbanding 200,000 orang yang dilaporkan kehilangan tempat tinggal akibat banjir 2014/2015, selain itu Persatuan Insurans Am Malaysia (PIAM) turut menganggarkan RM2–3 bilion dalam tuntutan berkaitan banjir.
"Kami menganggarkan jumlah kerosakan boleh berkisar antara RM10 bilion-RM15 bilion berdasarkan andaian daripada AIG Malaysia bahawa 80% daripada perusahaan kecil dan sederhana (PKS) tidak diinsuranskan untuk banjir dan Zurich Malaysia bahawa ~59% daripada pemandu tidak mempunyai insurans banjir dan 74% pemilik rumah tidak mempunyai perlindungan banjir.
"Banjir juga berkemungkinan akan memburukkan lagi inflasi," katanya dalam nota penyelidikannya di sini pada Khamis.
MQ Research berkata, di samping itu, pembinaan semula selepas banjir akan meningkatkan permintaan untuk bahan mentah dan buruh, dan ia kemungkinan meningkatkan inflasi berkaitan pembinaan.
Dalam pada itu MQ Research berkata, keputusan Kementerian Kewangan untuk memperkenalkan semula had duti setem sebanyak RM1,000 pada nota kontrak akan mengurangkan geseran dagangan, sekali gus secara berperingkat memberi impak positif untuk Bursa Malaysia.
"Walau bagaimanapun, MQ Research tidak percaya pengembalian dasar ini adalah perubahan yang bermakna dalam taktik apabila ia berkaitan dengan apa yang dilihat oleh MQ Research sebagai pendekatan berat kerajaan baru-baru ini terhadap syarikat untuk meningkatkan hasil cukai.
"Jika ada, kami percaya tekanan untuk kerajaan meningkatkan hasil cukai hanyalah disebabkan banjir, dengan keperluan untuk membiayai bantuan dan memerangi inflasi.
"Pada pandangan kami, syarikat korporat besar berisiko mengalami cukai tambahan atau berpotensi terlibat sama dalam langkah bantuan banjir langsung – yang akan menjadi risiko bagi bank, syarikat telekomunikasi, utiliti dan keperluan pengguna," katanya. -DagangNews.com
#banjir #Macquarie Equities Research #pakej bantuan banjir #bantuan bencana
;