Pakar saham Bumiputera, Nazarry Rosli meninggal dunia akibat COVID-19

Najib Aroff
September 16, 2021 18:19 MYT
Allahyarham cukup disenangi oleh komuniti media yang biasa berhubung dengannya kerana kepetahan mengulas tentang pasaran serta sikap mesranya bersama media. - Foto Astro AWANI
KUALA LUMPUR: Presiden Persatuan Remisier Bumiputera Malaysia, Nazarry Rosli meninggal dunia di Hospital Sungai Buloh pada 4.26 petang Khamis selepas bertarung dengan COVID-19 selama lapan hari.
Melalui kemas kini di laman Facebook, Allahyarham yang berusia 58 tahun sebelum ini disahkan positif dijangkiti virus itu pada 9 September sebelum dikejarkan ke Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 (PKRC) Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS) pada hari sama.
Sumber Facebook nazarry.rosli
Ketika di PKRC MAEPS, Allahyarham disahkan sebagai pesakit COVID-19 kategori 4 sebelum pada 10 September dibawa ke Hospital Sungai Buloh untuk mendapatkan rawatan lanjut.
Pada 13 September Allahyarham terpaksa ditidurkan susulan paras oksigen yang menurun selain risiko selaku pesakit komorbid.
Pihak hospital pada 15 September, menghubungi ahli keluarga Allahyarham melalui panggilan video yang turut dikongsikan mereka di laman Facebook Allahyarham.
Allahyarham kerap muncul di Astro AWANI sebagai panel bagi mengulas tentang keadaan pasaran saham serta nilai ringgit.
Berpengalaman luas dalam pasaran saham dan sudah melatih ramai individu Bumiputera untuk mahir dalam pasaran saham, Allahyarham sebelum ini pernah berkhidmat sebagai Pengarah di firma Jupiter Research Sdn Bhd, Pengerusi Koperasi Pelabur Bumiputera Malaysia, Presiden Persatuan Remisier Bumiputera Malaysia dan Penasihat kepada Persatuan Penganalisis Teknikal Malaysia (MATA).
Allahyarham cukup disenangi oleh komuniti media yang biasa berhubung dengannya kerana kepetahan mengulas tentang pasaran serta sikap mesranya bersama media.
Astro AWANI mendoakan roh Allahyarham dicucuri rahmat dan ditempatkan dalam kalangan orang beriman.
#COVID-19 #Nazarry Rosli #Hospital Sungai Buloh #PKRC #Maeps
;