Peletakan jawatan mengejut Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Packet One Networks (Malaysia) Sdn Bhd (P1) Michael Lai bakal menimbulkan spekulasi koperat untuk bulan-bulan mendatang.

Sebelum pengumuman perletakan jawatan itu, telah wujud spekulasi Green Packet Bhd akan menjual pegangannya dalam P1.

Dengan penjualan pegangan itu akan membantu Green Packet meningkat sumber kewangannya. Selain itu, pelaburan yang strategik mampu membantu P1 berkembang dengan lebih agresif.

"Michael Lai telah memainkan peranan penting dalam kejayaan P1. Beliau juga mampu membawa syarikat itu kepada perkembangan yang lebih besar. Jadi, peletakan jawatannya pada Rabu mewujudkan persoalan,” menurut penganalisis tempatan apabila dihubungi Astro AWANI.

Pengasas Green Packet dan pengarah urusan Puan Chan Cheong berkata syarikat itu sedia mencairkan sebahagian aset dan terbuka kepada sebarang kemungkinan.

“Saya tak dapat mengulas sama ada kami dalam perancangan untuk menjual P1 atau Green Packet secara spesifik namun apa yang boleh saya katakan kami mahu mengoptimumkan peluang untuk menjana aliran tunai untuk menstabilkan sumber kewangan,” menurut Puan dalam satu wawancara bersama akhbar harian Starbiz baru-baru ini.

Puan yang akan mula mengambil alih jawatan CEO P1 bermula 1 Julai berkata beliau memerlukan sedikit masa sebelum syarikat berkenaan pulih semula.

Kerugian bersih Green Packet menular kepada RM19.8 juta bagi suku pertama berakhir 31 Mac 2013 berbanding RM14.7 juta pada tempoh yang sama tahun lalu.

Tahun lalu, terdapat ura-ura bahawa Telekom Malaysia Bhd akan membeli pegangan dalam P1 kira-kira RM1.8 billion. Walaubagaimanapun, spekulasi itu dinafikan sekeras-kerasnya oleh penyedia perkhidmatan talian tetap itu.