Ordinan Darurat: Denda berat hanya sebabkan peniaga terus berada di 'ICU' - PPK

Fareez Azman
Mac 17, 2021 16:26 MYT
Kata Teo, hukuman denda yang tinggi terhadap pesalah yang ingkar akan hanya mengakibatkan ketakutan, panik dan tiada impak positif terhadap ekonomi. - Foto acccim.org.my
PETALING JAYA : Hukuman denda maksimum RM10,000 terhadap individu dan RM50,000 bagi syarikat atau perbadanan yang melanggar prosedur operasi standard (SOP) di bawah Ordinan Darurat Pencegahan dan Kawalan Penyakit Berjangkit (Pindaan) 2021 dilihat akan hanya membebankan semua pihak.
Menurut Presiden Persatuan Pengurusan Kompleks (PPK) Malaysia , Tan Sri Teo Chiang Kok, penguatkuasaan hukuman terbabit mengakibatkan rata-rata rakyat takut untuk keluar dan berbelanja meskipun ketika ini hampir kesemua sektor perniagaan telah dibuka.
Jelasnya, hukuman keras terahadap pesalah memberikan impak negatif terhadap sektor perniagaan yang telah bertahan sejak pandemik COVID-19 melanda negara tahun lalu.
"Perniagaan perlu bertahan sejak tahun lalu, kebanyakan daripada kami sekarang ibarat berada di Unit Rawatan Rapi (ICU) kerana terkesan, rata-rata tidak membuat keuntungan. Semua SOP perlu diikuti seperti disarankan termasuk perniagaan dengan kapasiti 40 peratus dibenarkan (dikawasan PKPB).
"Perniagaan kami sekarang tidak membawa keuntungan, tetapi apa yang penting bagi kami bagaimana untuk bertahan sahaja dan memastikan aliran tunai tidak terganggu. Tetapi sekarang dengan denda yang dikuatkuasakan, memberi kesan kepada kami," katanya pada satu sidang media oleh Industries Unite di sini pada Rabu.
Ujarnya, pihak industri sentiasa berterima kasih kepada kerajaan kerana menambah baik SOP dari masa ke semasa selepas mendengar pandangan pemain industri.
Namun jelasnya, tindakan menghukum ibarat merotan rakyat dan industri dengan denda yang tinggi, hanya menyebabkan ketakutan terhadap rakyat.
"Kita sentiasa menghargai tindakan kerajaan dalam menambah baik SOP apabila mendengar pandangan daripada pemain industri dan rakyat.
"Bagi saya menggunakan rotan terhadap rakyat dan perniagaan bukan satu cara yang terbaik, seharusnya kita perlu membina keyakinan rakyat untuk membantu meningkatkan ekonomi bukan dengan merotan rakyat.
"Ia hanya akan mengakibatkan ketakutan, panik dan tiada impak positif (terhadap ekonomi)," ujarnya lagi.
Sebelum ini, kerajaan pada 11 Mac lalu menguatkuasakan denda RM10,000 bagi individu yang melanggar peraturan atau prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan bagi pencegahan dan kawalan pandemik COVID-19.
Perkara itu dinyatakan dalam Ordinan Darurat Pencegahan dan Kawalan Penyakit Berjangkit (Pindaan) 2021 melalui Warta Kerajaan Persekutuan yang dimuat naik dalam portal rasmi Jabatan Peguam Negara.
Ordinan itu turut menyatakan syarikat atau perbadanan yang melakukan kesalahan berkaitan SOP boleh didenda sehingga RM50,000.
#SOP #ICU #Petaling Jaya #Peguam Negara #unit rawatan rapi #COVID-19 #Malaysia #ekonomi #kerajaan #penyakit berjangkit #rakyat #operasi #perniagaan #pemain industri #Ordinan Darurat #denda #Industri Unite #Presiden Persatuan Pengurusan Kompleks Malaysia
;