Ops Jejak GST: Kastam buru syarikat, perniagaan yang masih berdegil
Malik Ridhwan
Januari 7, 2016 14:34 MYT
Januari 7, 2016 14:34 MYT
Jabatan Kastam DiRaja Malaysia (JKDM) berusaha untuk mencapai sasaran RM39 bilion hasil kutipan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) seperti diumumkan Perdana Menteri dalam Bajet 2016.
Menurut Ketua Pengarahnya Datuk Seri Khazali Ahmad, pihaknya akan menjalankan beberapa operasi untuk mencapai sasaran tersebut.
"Semasa ucapan Bajet 2016 yang lalu, kami diberi KPI untuk mencecah RM39 bilion. Oleh itu kami sedang berusaha untuk memastikan sasaran yang ditetapkan dapat dicapai," kata Khazali dalam satu sidang media di sini, pada Khamis.
Susulan itu, Ops Jejak GST 2016 akan diadakan secara berperingkat tahun ini untuk mengesan mana-mana syarikat atau perniagaan yang belum mendaftar di bawah sistem percukaian itu.
''Ini operasi ketiga sejak pengenalan GST April tahun lepas dan dilakukan bagi mengesan mereka yang masih ingkar untuk mendaftar.
"Berdasarkan risikan dan maklumat orang awam, kami mendapati masih terdapat syarikat yang belum mendaftar sebagai orang kena daftar GST walaupun telah layak didaftarkan secara mandatori," katanya.
Menurut Khazali, JKDM mensasarkan untuk mendaftar 100,000 pendaftar baru bagi tempoh 2016.
Ini sebagai tambahan kepada 400,519 yang telah berdaftar sehingga kini.
"Jadi dengan penambahan 100,000 ini akan menjadikan keseluruhan kita jangkakan di akhir tahun 2016 ini kita akan ada lebih kurang 500,000 pendaftar di dalam sistem GST,” katanya.
Ops Jejak GST akan bermula 17 Januari hingga 22 Januari ini di seluruh negara.
Operasi ini akan melibatkan 1,500 orang pegawai dari Bahagian GST dan Bahagian Pematuhan dan Penguatkuasaan JKDM.
Tambah beliau, dalam operasi ini juga pihak JKDM akan mengesan mereka yang telah berdaftar GST tetapi gagal mematuhi Seksyen 33 Akta Cukai Barang dan Perkhidmatan 2014 berkenaan pengeluaran invois cukai yang menyebabkan amaun GST tidak dapat diakaunkan sepertimana sepatutnya.
"Mana-mana orang berdaftar GST yang gagal mengeluarkan invois cukai atau mengeluarkan suatu invois cukai yang tidak mengandungi butir-butir yang telah ditetapkan, adalah melakukan kesalahan di bawah Akta CBP 2014," kata Khazali.
Menurutnya, bermula 15 Januari 2016, mereka yang berdaftar GST dikesan gagal mematuhi peraturan akan dikenakan kompaun serta-merta.
Jelasnya, peniaga yang masih menggunakan sistem invois secara manual atau bertulis tangan juga digalakkan untuk bertukar kepada sistem automatik Point of Sales agar tidak berlaku kekeliruan kepada pengguna apabila dikenakan caj GST oleh peniaga.