OPR naik bercanggah dengan strategi ekonomi kerajaan - SPCAAM

Sinar Harian
Mei 4, 2023 15:10 MYT
Callistus Antony DAngelus berkata, BNM tidak boleh bertindak secara berasingan dan perlu selaras dengan strategi ekonomi yang dirangka oleh kerajaan. - Gambar
KUALA LUMPUR: Persatuan Khidmat Nasihat Pencarum Perlindungan Sosial Malaysia (SPCAAM) menyifatkan tindakan Bank Negara Malaysia (BNM) menaikkan kadar dasar semalaman (OPR) adalah suatu perkara yang bercanggah dengan keseluruhan strategi ekonomi kerajaan.
Penasihat Buruh Antarabangsa SPCAAM, Callistus Antony D’Angelus berkata, BNM tidak boleh bertindak secara berasingan dan perlu selaras dengan strategi ekonomi yang dirangka oleh kerajaan.
Menurutnya, BNM sebagai bank pusat negara perlu melaksanakan dasar berdasarkan keperluan dan kebaikan semua sektor masyarakat.
“Tidak dapat dinafikan bahawa pengambilan risiko yang berlebihan perlu dibendung kerana kadar pinjaman murah menggalakkan tingkah laku spekulatif dalam jangka panjang akan beri kesan kepada ekonomi dengan teruk.
“Komuniti golongan berpendapatan rendah (B40) di negara ini bukanlah spekulator atau pengambil risiko kerana mereka tidak mempunyai kedudukan untuk melabur atau menyimpan,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.
Sinar Harian pada Rabu melaporkan Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) BNM mengumumkan OPR meningkat 25 mata perpuluhan kepada 3 peratus.
Callistus berkata, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sering kali menyatakan bahawa golongan miskin di Malaysia sedang menghadapi krisis kos sara hidup yang mana kerajaan terdahulu mengabaikan fakta itu.
Jelasnya, pelbagai inisiatif taktikal sedang dilaksanakan oleh Kerajaan Perpaduan untuk meringankan penderitaan golongan itu sementara strategi keseluruhan sedang ditetapkan berdasarkan aspirasi Malaysia Madani.
Tambahnya, BNM juga gagal untuk melihat perkara semasa secara holistik dan sebaliknya memberi tumpuan kepada agregat.
“Masalah dengan dasar agregat dan membuat keputusan terutamanya dalam bidang ekonomi adalah cenderung mengabaikan keperluan sesetengah sektor masyarakat.
“Dalam keadaan ini, kesan kenaikan OPR menjadikan pinjaman lebih mahal, bagaimana ia akan memberi kesan kepada golongan miskin dalam meneruskan kelangsungan hidup,” ujarnya.
Dalam pada itu, Callistus menegaskan BNM sepatutnya melaksanakan dasar yang tidak membenarkan bank menaikkan kadar faedah bagi komuniti B40. - Sinar Harian
#OPR naik #spcaam #Bank Negara #strategi ekonomi
;