OPR kekal tiga peratus sesuai pertumbuhan ekonomi semasa - Prof Irwan Shah
Faida Rahim
September 8, 2023 09:00 MYT
September 8, 2023 09:00 MYT
KUALA LUMPUR: Keputusan Bank Negara Malaysia (BNM) mengekalkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) pada 3.00 peratus disifatkan sesuai dengan pertumbuhan ekonomi yang agak perlahan sejak kebelakangan ini.
Ahli akademik Prof Madya Dr Irwan Shah Zainal Abidin berpendapat, ia membentuk persekitaran kondusif sejajar usaha negara mencapai sasaran pertumbuhan ekonomi 4 peratus tahun ini.
"Ini memberi kelegaan sedikit sebanyak dari segi ekonomi rakyat, di mana ia dapat menstabilkan daripada segi tekanan, peningkatan dalam kos sara hidup rakyat," katanya kepada Astro AWANI pada Khamis.
Tambah Pensyarah Kanan School of Economics, Finance & Banking (SEFB) Universiti Utara Malaysia (UUM) itu, meskipun ia merupakan keputusan jangka pendek namun ia permulaan tepat untuk kerajaan yang telah tampil dengan pelbagai kerangka ekonomi.
BNM menerusi Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) yang bermesyuarat semalam memutuskan untuk mengekalkan OPR pada paras semasa 3.00 peratus.
Ini merupakan kali ketiga berturut-turut MPC bertindak mengekalkan OPR pada paras tersebut.
Dalam pada itu, Irwan Shah berkata, kadar OPR negara ini tidak dipengaruhi faktor luar terutama situasi semasa ekonomi Amerika Syarikat (AS).
"Keadaan di sana berdasarkan keputusan mereka, kerana mereka masih lagi berkeras untuk mencapai sasaran 2 peratus inflasi, yang mana mungkin mengakibatkan lagi peningkatan dalam OPR di AS," katanya.