OPR diunjur kekal 3% hingga akhir 2024, inflasi, KDNK pertimbangan utama BNM - AmInvestment

Dagang News
Ogos 7, 2024 03:00 MYT
Malaysia belum sepenuhnya menormalkan OPR kembali kepada 3.25% seperti tahun-tahun sebelum pandemik, kata AmInvestment. - Gambar hiasan
KUALA LUMPUR: Kadar dasar semalaman (OPR) di Malaysia dijangka kekal pada 3% pada separuh kedua 2024 (2H24) dan tidak mengikut langkah bank-bank di negara serantau yang bakal mengikut jejak Rizab Persekutuan (Fed) Amerika Syarikat (AS) mengurangkan kadar faedah.
AmInvestment Bank Research berkata, Bank Negara Malaysia (BNM) akan terus bergantung kepada data dalam keputusan dasar monetarinya.
"Dengan kadar inflasi dalam sasaran 2%-3.5% dan pasukan ekonomi kami menjangkakan pertumbuhan Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) 2024 menghampiri 5%, kami menjangkakan OPR kekal tidak berubah pada 3% tahun ini.
"Malaysia belum sepenuhnya menormalkan OPR kembali kepada 3.25% seperti tahun-tahun sebelum pandemik," katanya dalam nota penyelidikan hari ini.
Sementara itu, AmInvestment berkata, potongan kadar faedah yang akan datang di Singapura dan Indonesia mengikuti potensi pengurangan dalam kadar faedah Rizab Persekutuan Amerika Syarikat (Fed).
Katanya, bagi negara-negara Asia Tenggara, potongan kadar AS mungkin memberi impak yang lebih segera terhadap margin faedah bersih (NIM) bank-bank Singapura dan bank domestik yang mempunyai operasi di Singapura.
NIM merujuk kepada perbezaan antara kadar yang bank kenakan untuk meminjamkan wang berbanding dengan kadar yang mereka bayar untuk deposit.
"Sementara itu, di Indonesia, pemotongan kadar 25bps pada kadar penanda aras adalah dijangka pada 4Q24, menurunkannya kepada 6% disebabkan risiko penurunan daripada faktor global.
"Ini berikutan langkah oleh Bank Pusat Indonesia untuk menaikkan kadar BI sebanyak 25bps kepada 6.25% pada April 2024 untuk mempertahankan rupiah Indonesia.
"Selepas pandemik, kadar BI telah dinaikkan sebanyak 275bps secara kumulatif sejak Ogos 2022, lebih tinggi daripada peningkatan kumulatif 125bps dalam OPR secara domestik," jelasnya.
Dalam pada itu, AmInvestment berkata, harga saham bank menunjukkan pemulihan semalam seiring dengan kenaikan hadapan saham AS selepas penurunan pasaran saham global selama tiga hari baru-baru ini.
"Tumpuan kepada bank-bank yang ketinggalan (Public Bank dan Hong Leong) dengan kurang terdedah kepada potensi pemotongan kadar di operasi luar negara dengan tekanan makro yang berterusan dan ketidakpastian pilihan raya AS," ujarnya.
Firma penyelidikan itu mengekalkan saranan 'Neutral' pada sektor perbankan dan kekal memilih saham dengan teliti.
"Meningkatkan NIM kekal menjadi cabaran bagi bank-bank berikutan kos dana yang masih tinggi dengan ruang yang terhad untuk kadar kempen deposit dikurangkan lagi pada 2H24, sementara kadar pinjaman telah kompetitif.
"Tiga bank digital yang telah memulakan operasi menawarkan kadar yang lebih tinggi untuk deposit simpanan (GXBank: 3% setahun, Aeon Bank: 3.88% setahun dan Boost Bank: sehingga 3.6% setahun).
"Ini seharusnya mengekalkan kadar deposit yang tinggi walaupun penetapan harga kini lebih rasional berbanding awal 2023 dan akhir 2022," ujarnya. - DagangNews.com
#OPR #dasar monetari #Bank Negara Malaysia #AmInvestment