OPR dijangka kekal 3.00 peratus sehingga 2024 - BMI
Hasimi Muhamad
September 14, 2023 15:15 MYT
September 14, 2023 15:15 MYT
KUALA LUMPUR: Bank Negara Malaysia (BNM) dijangka mengekalkan kadar dasar semalaman (OPR) pada 3.00 peratus untuk tempoh sepanjang tahun ini, dan hingga akhir tahun 2024.
BMI, sebuah syarikat Fitch Solutions berkata, unjuran tersebut didorong oleh inflasi tahun ke tahun yang mereda kepada dua peratus pada Julai 2023 berbanding 2.8 peratus pada Mei.
Menurut laporan The Edge, firma penyelidikan itu dalam nota pada Rabu menambah, keadaan inflasi yang bertambah baik menunjukkan kadar dasar sebenar Malayisa kini dalam kedudukan positif.
"Oleh itu, kami percaya bahawa pendirian dasar semasa adalah mencukupi untuk mengawal inflasi dan bahawa bank pusat akan kekal (OPR pada tahap semasa) buat masa ini," kata BMI.
Dalam masa sama, BMI turut menurunkan unjuran inflasi akhir 2023 daripada dua peratus sebelumnya kepada 1.8 peratus susulan tekanan harga yang mereda.
Berdasarkan perkembangan semasa juga, BMI menambah purata inflasi dijangka turun kepada 2.6 peratus pada 2023 berbanding 3.4 peratus pada 2022.
Pada 7 September lalu, Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) BNM membuat keputusan untuk mengekalkan OPR pada 3.00 peratus.
BNM dalam satu kenyataan berkata, pada tahap OPR semasa, pendirian dasar monetari terus menyokong pertumbuhan ekonomi dan konsisten dengan penilaian semasa berhubung dengan prospek pertumbuhan dan inflasi.