Operasi Thai AirAsia digantung sementara pada Ogos susulan larangan penerbangan domestik

Bernama
Ogos 1, 2021 04:05 MYT
Tindakan menggantung sementara operasi penerbangan memberi kesan langsung terhadap operasi perniagaan Thai AirAsia, terutama dalam aspek pengurusan modal dan kecairan kewangan syarikat. - Gambar fail/ AirAsia
BANGKOK: Thai AirAsia memutuskan untuk menggantung sementara semua operasinya pada Ogos dan pekerjanya akan diletakkan di bawah status cuti tanpa gaji disebabkan larangan penerbangan domestik di Thailand.
Dalam satu kenyataan, Thai AirAsia Co Ltd, memaklumkan kerajaan Thailand mengambil langkah ketat dan mengenakan sekatan perjalanan bagi membendung penularan COVID-19 di negara itu.
Bagi memenuhi pengumuman kerajaan, syarikat menggantung buat sementara operasi penerbangan sejak Julai dan tindakan itu memberi kesan langsung terhadap operasi perniagaan, terutama dalam aspek pengurusan modal dan kecairan kewangan syarikat.
"Syarikat sudah berusaha sedaya upaya untuk menguruskan keadaan termasuk mencari pelbagai sumber dana bagi memperbaiki tahap kecairan tunai.
"Meskipun berusaha sedaya upaya untuk mengatasi kesan jangka pendek, keadaan semakin buruk berbanding apa yang syarikat unjurkan sebelum ini.
"Oleh itu, dengan rasa berat hati, kami terpaksa melaksanakan langkah jangka pendek dengan menangguh serta menyusun semula bayaran gaji pekerja pada Julai-Ogos," menurut kenyataan itu.
Untuk Julai, gaji pegawai peringkat pengurus ke atas termasuk pengurusan kanan, ditangguhkan ke September.
"Semua pekerja lain yang di bawah status aktif, akan menerima 50 peratus gaji mereka pada Julai dan bakinya dibayar pada September.
"Pekerja di bawah status tidak aktif pula, 25 peratus gaji mereka akan dibayar pada September.
"Kami jangka keadaan akan bertambah baik menjelang September. Bayaran gaji kepada semua pekerja akan disusun kembali sebaik mereka memperoleh dana dan syarikat kembali beroperasi," menurut kenyataan itu lagi.
Ketika Thailand bergelut menangani COVID-19 terburuk, kerajaan membentangkan pelbagai langkah baharu bagi membendung penularan termasuk larangan penerbangan domestik komersial di Bangkok dan 12 wilayah yang dikategorikan sebagai 'zon merah gelap' iaitu kawasan sekatan pergerakan maksimum.
Thai AirAsia sebelum ini menggantung semua penerbangan domestiknya bermula 12 hingga 31 Julai 2021.
-- BERNAMA
#gantung operasi #Ogos #larangan penerbangan #Pekerja #cuti tanpa gaji #Thai AirAsia #COVID-19 #penerbangan #Thailand #AirAsia #penerbangan domestik #domestik komersial #zon merah gelap #sekatan pergerakan #kewangan #dana
;