Operasi SCIB tidak terjejas dengan penggantungan saham, jangka keluarkan laporan tahunan Disember ini
Dagang News
November 10, 2021 08:15 MYT
November 10, 2021 08:15 MYT
KUALA LUMPUR: Operasi harian Sarawak Consolidated Industries Bhd (SCIB) akan terus berjalan seperti biasa di sebalik penggantungan sahamnya oleh Bursa Malaysia Securities Bhd (Bursa Securities) pada Selasa.
Malah, Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif SCIB, Rosland Othman berkata, syarikat menyasarkan untuk mengeluarkan laporan tahunannya menjelang Disember ini.
Ketika ini, katanya, SCIB sedang bekerjasama dengan juruaudit luar bagi memuktamadkan audit berhubung penyata kewangan.
"Kami ingin menyakinkan semua pihak berkepentingan, rakan kongsi perniagaan, vendor dan pekerja bahawa kami akan meneruskan operasi harian seperti biasa walaupun dagangan saham digantung," katanya dalam kenyataan semalam.
Penggantungan dagangan itu dilaksanakan selepas Bursa Securities menolak rayuan SCIB yang dibuat pada 8 Oktober lalu untuk memohon lanjutan masa sehingga 31 Disember 2021 untuk Syarikat mengeluarkan laporan tahunannya bagi tahun kewangan berakhir 30 Jun 2021 yang akan berakhir pada 31 Oktober 2021.
Ini berikutan SCIB tidak dapat memuktamadkan penyata kewangan yang telah diaudit tepat pada masanya untuk disertakan dalam laporan tahunan disebabkan pertukaran juruaudit luar dan sekatan pergerakan bagi membendung penularan wabak COVID-19.
Tetapi, pada 26 Oktober lalu, SCIB memaklumkan permohonan lanjutan tempoh bagi menyiapkan Laporan Tahunan 2021 kumpulan itu ditolak Bursa Securities.
Susulan itu, pada 3 November lalu, Bursa Securities memberi amaran akan menggantung urus niaganya pada 9 November sekiranya gagal mengemukakan laporan tahunan dalam tempoh masa ditetapkan.
Sebelum dagangannya digantung pagi tadi, harga saham SCIB menokok 2 sen atau 10.81% kepada 20.5 sen dalam penutupan petang semalam. Ia menyaksikan 34.67 juta saham diniagakan.
Di sebalik penggantungan saham SCIB, Rosland bagaimanapun menegaskan, pelan pengembangan syarikat masih kekal utuh memandangkan mereka memanfaatkan kekuatan sebagai pengeluar konkrit pratuang dan Sistem Binaan Berindustri (IBS) terbesar di Malaysia Timur dengan membangunkan peluang termasuk di Semenanjung Malaysia.
"Kami juga mengguna pakai teknologi 3D bagi projek-projek pembinaan yang kami jalankan kerana kami percaya ia dapat membantu mempercepatkan kemajuan projek dengan tempoh masa pembinaan yang lebih singkat.
"Di samping itu, kami juga percaya gabungan teknologi IBS dan 3D akan memberikan kami kelebihan berbanding pesaing lain kerana industri pembinaan semakin menerapkan teknologi terkini dengan jaminan kualiti dan kecekapan," jelas beliau.
*Berita asal di DagangNews.com