Operasi perniagaan pulih sedikit pada separuh kedua 2020 - BNM
Bernama
April 2, 2021 06:29 MYT
April 2, 2021 06:29 MYT
KUALA LUMPUR: Persekitaran operasi perniagaan telah menyaksikan sedikit pemulihan pada separuh kedua tahun 2020 didorong oleh kelonggaran sekatan pergerakan secara beransur-ansur di kebanyakan tempat di negara ini.
Dalam laporan Tinjauan Kestabilan Kewangan -- Separuh Kedua 2020 yang dikeluarkan pada Rabu, Bank Negara Malaysia (BNM) berkata berbanding dengan kegiatan ekonomi yang terhenti secara mendadak merentas kebanyakan sektor perniagaan pada separuh pertama tahun 2020, langkah pembendungan COVID-19 yang dilaksanakan baru-baru ini adalah kurang ketat dan lebih bersasar.
"Namun demikian, pemulihan ternyata tidak sekata merentas sektor perniagaan yang berlainan. Sektor perkilangan terus bertambah baik.
"Perniagaan yang berkaitan dengan pengguna seperti sektor perdagangan borong dan runcit serta hotel dan restoran, yang mencakupi 7.5 peratus daripada jumlah pinjaman sistem perbankan, meraih manfaat daripada pelonggaran sekatan pergerakan dalam negeri pada separuh kedua tahun 2020.
"Namun, sektor-sektor ini mengalami pemulihan yang secara relatif lebih perlahan seiring dengan sentimen pengguna yang terus lemah," katanya.
BNM berkata penutupan perniagaan dan pemberhentian pekerja meningkat dalam industri berkaitan pelancongan, apabila sesetengah syarikat dalam segmen ini menanggung kerugian besar dan berdepan dengan prospek kelemahan permintaan yang berpanjangan.
Katanya dedahan kepada industri ini kekal kecil pada 2.5 peratus daripada jumlah pinjaman sistem perbankan.
"Dalam sektor minyak dan gas, meskipun harga minyak meningkat dalam keadaan volatiliti permintaan minyak yang berterusan, pemulihan sepenuhnya aktiviti sektor ini hingga tahap sebelum pandemik akan bergantung pada kadar pemulihan ekonomi global," katanya.
Dalam pada itu, BNM berkata pertumbuhan hutang isi rumah juga kembali ke paras sebelum COVID-19 pada separuh kedua tahun 2020 apabila negara keluar daripada sekatan kawalan pergerakan yang ketat.
"Pertumbuhan didorong terutamanya oleh pinjaman kenderaan dan perumahan, yang masing-masing berkembang sebanyak 6.1 peratus dan 7.4 peratus, hasil daripada tindak balas yang menggalakkan terhadap insentif cukai jualan dan perkhidmatan (SST) bagi pembelian kenderaan motor dan pelbagai insentif pemilikan rumah.
"Pembiayaan peribadi turut mencatatkan pertumbuhan tahunan yang lebih tinggi sebanyak 7.1 peratus, sebahagiannya disebabkan oleh penangguhan bayaran balik pinjaman semasa tempoh moratorium pinjaman secara automatik," katanya.
Secara agregat, katanya nisbah hutang isi rumah kepada Keluaran Dalam Negara Kasar(KDNK) meningkat kepada 93.3 peratus terutamanya disebabkan oleh KDNK yang kekal berada di bawah paras sebelum krisis.
"Hutang isi rumah yang tinggi menimbulkan kebimbangan bahawa keadaan ini boleh membawa kepada penurunan leveraj yang pantas oleh isi rumah selepas krisis, lantas menjejaskan atau menyekat pemulihan ekonomi.
"Namun, tidak ada bukti yang jelas tentang hal ini dengan pengeluaran baharu pinjaman sistem perbankan kepada isi rumah mencecah 112 peratus daripada paras pengeluaran dalam tempoh yang sama tahun lepas," katanya.
BNM berkata pengeluaran pinjaman ini telah diberikan terutamanya kepada peminjam berpendapatan sederhana dan tinggi (71 peratus) yang masih mampu menanggung lebih banyak hutang.
"Dalam kalangan peminjam berpendapatan rendah, langkah-langkah yang diambil sejak beberapa tahun lalu untuk menggalakkan amalan peminjaman yang lebih bertanggungjawab sebahagiannya telahmengurangkan kesan yang lebih buruk terhadap kewangan mereka," katanya.
Aktiviti dalam pasaran perumahan turut kembali pulih selepas mencecah paras terendah pada suku kedua tahun 2020, di mana jumlah urus niaga meningkat pada kadar yang setanding denganpertumbuhan purata suku tahunan yang dilihat sebelum tercetusnya pandemik COVID-19.
"Keadaan ini mencerminkan tindak balas yang positif terhadap langkah-langkah yang diperkenalkan oleh kerajaan bagi menyokong permintaan seperti Kempen Pemilikan Rumah dan pengecualian duti setem. Persekitaran kadar faedah yang rendah turut menggalakkan pembelian untuk tujuan kediaman sendiri dan pelaburan.
"Seiring dengan itu, permintaan untuk pembiayaan turut meningkat selaras dengan aktiviti pasaran. Permohonan pinjaman perumahan meningkat merentas kebanyakan segmen harga, kecuali rumahberharga kurang daripada RM300,000," katanya.
Sementara itu, katanya nilai urus niaga purata mencatatkan pertumbuhan tahunan positif untuk suku tahunan kedua yang berturut-turut apabila aktiviti pasaran lebih tertumpu dalam segmen harga sederhana dan lebih tinggi, dengan pembeli lebih berkemungkinan terdiri daripada golongan yang pendapatannya kurang terjejas oleh pandemik.
"Keadaan ini terus menyokong pertumbuhan harga rumah purata, seperti yang diukur oleh Indeks Harga Rumah Malaysia (IHRM), meskipun harga meningkat pada kadar yang lebih sederhana pada suku ketiga tahun 2020," katanya.
-- BERNAMA
#BNM
#perniagaan
#KDNK
#Bank Negara Malaysia
#COVID-19
#pelancongan
#cukai
#pelaburan
#minyak
#pandemik
#ekonomi
#hotel
#harga minyak
#pemulihan
#Hutang isi rumah
#sekatan
#kawalan pergerakan
#perdagangan