SHAH ALAM: Hujan lebat dan banjir kilat sejak Jumaat telah menjejaskan operasi pelabuhan di terminal Northport, Westports dan Southport, kata Lembaga Pelabuhan Klang (PKA).

PKA dalam satu kenyataan semalam menjelaskan operasi di gudang dan depot kontena kosong di kawasan sekitar juga terjejas dan diburukkan lagi dengan kerosakan jalan masuk.

"Lebih merencatkan lagi keadaan, ramai kakitangan operasi pelabuhan dan logistik tidak dapat melapor diri untuk bekerja kerana masalah perjalanan. Oleh itu, pergerakan masuk dan keluar kontena dijangka terjejas teruk sehingga menyebabkan penghantaran terpaksa ditangguhkan untuk beberapa hari akan datang," katanya.

Penundaan kapal juga akan ditangguhkan kerana cuaca buruk yang telah menyebabkan kesesakan trafik di kawasan berlabuh di luar pelabuhan dengan banyak lagi kapal dijangka tiba pada hari-hari akan datang.

Bagaimanapun, PKA sedang bekerjasama rapat dengan pemain dan logistik industri pelabuhan untuk mengoptimumkan sumber yang ada serta melakukan segala yang mungkin bagi memastikan kesinambungan operasi pelabuhan.

"Keutamaan akan diberikan kepada penghantaran barangan keperluan seperti makanan, bekalan perubatan dan barangan sejuk beku," katanya.

Pengendali terminal, ejen penghantaran, syarikat pengangkut dan agensi pelepasan barangan digesa untuk berganding bahu dalam masa yang sukar ini untuk membantu dan memastikan barangan dapat sampai ke pasaran serta meminimumkan cabaran yang dihadapi oleh orang ramai yang sedang berhadapan dengan wabak COVID-19.

"Bagaimanapun, kami merayu kepada orang ramai untuk bersabar dalam tempoh yang sukar ini dan kami yakin cabaran ini akan berjaya diatasi melalui kerjasama dengan pelbagai pihak.

"Dalam masa yang mencabar ini, kami menyeru agar semua pihak yang terlibat untuk menonjolkan daya tahan dan rasa ehsan, kami menggesa komuniti pelabuhan serta logistik bagi menghulurkan bantuan yang diperlukan kepada masyarakat tempatan yang terjejas oleh banjir dengan menghubungi pemimpin komuniti masing-masing untuk mengetahui bagaimana mereka boleh dibantu," katanya.


-- BERNAMA