Operasi BNM serap lebihan mudah tunai bantu kadar jangka pendek untuk kekal stabil
Bernama
Januari 9, 2023 13:13 MYT
Januari 9, 2023 13:13 MYT
KUALA LUMPUR: Kadar jangka pendek diunjur kekal stabil hari ini berikutan operasi Bank Negara Malaysia (BNM) yang menyerap lebihan mudah tunai daripada sistem kewangan.
Mudah tunai dianggarkan RM36.53 bilion dalam sistem konvensional dan RM35.01 bilion dalam dana Islam.
Hari ini, bank pusat akan mengendalikan satu tender pasaran wang konvensional melibatkan nilai RM1 bilion selama tujuh hari dan satu tender Qard sebanyak RM1.2 bilion untuk tempoh tujuh hari.
BNM turut mengadakan dua tender repo berbalik yang terdiri daripada tender RM1.23 bilion untuk 59 hari dan tender RM650 juta selama 91 hari.
Selain itu, bank pusat telah mengumumkan ketersediaan repo berbalik, perjanjian jual dan beli semula serta kemudahan murabahah komoditi bercagar untuk tempoh satu hingga tiga bulan.
Pada jam 4 petang, BNM akan menawarkan tender semalaman konvensional bernilai sehingga RM36.4 bilion dan sebanyak RM31.2 bilion untuk tender semalaman murabahah.
-- BERNAMA