Operasi AirAsia meningkat pada Mac susulan program vaksinasi global
Bernama
Mei 6, 2021 06:45 MYT
Mei 6, 2021 06:45 MYT
KUALA LUMPUR: AirAsia Group Bhd mencatat peningkatan operasi pada Mac 2021 yang melibatkan semua entitinya ketika negara-negara di serata dunia menumpukan usaha mempercepat program vaksinasi COVID-19 masing-masing.
Dalam kenyataan pada Khamis, AirAsia berkata bagi asas bulan ke bulan, metrik operasi utama merekodkan kemajuan positif pada Mac berbanding Februari 2021 dengan peningkatan jumlah penumpang masing-masing bagi AirAsia Malaysia sebanyak 84 peratus, AirAsia Filipina (57 peratus), AirAsia Indonesia (29 peratus) manakala AirAsia Thailand meningkat dua kali ganda.
"AirAsia menyasarkan permintaan domestik lebih kukuh bagi pasaran utamanya di ASEAN pada suku berikutnya ketika majoriti penduduk menerima vaksinasi selain peningkatan permintaan," katanya.
Menurut syarikat itu, AirAsia Malaysia juga optimis bahawa usaha yang sedang dijalankan itu akan memacu pemulihan yang lebih kukuh serta mampan bagi tahun ini.
"Walaupun permintaan terhadap perjalanan udara bagi suku itu susut akibat sekatan pergerakan dan rentas negeri yang dilaksanakan sejak Januari 2021, AirAsia Malaysia sebaliknya amat optimis dengan statistik yang dicatatkan pada Mac lepas.
"Faktor beban muatan pula meningkat sebanyak sembilan mata peratusan (ppts) kepada 76 peratus berikutan pertambahan jumlah penumpang yang dibawa," katanya.
Pertambahan penumpang AirAsia Indonesia adalah sebanyak 29 peratus selain kenaikan beban muatan sebanyak dua ppts pada Mac berbanding Februari berikutan peningkatan program vaksinasi selain kelonggaran sekatan pergerakan.
Sementara itu, AirAsia Filipina memanfaatkan pemulihan permintaan perjalanan udara lebih kukuh bagi suku berkenaan dengan membawa sebanyak 168,527 penumpang iaitu peningkatan sebanyak 43 peratus berbanding suku keempat 2020.
"Pertambahan jumlah penumpang itu menyaksikan faktor beban muatan naik sebanyak 10 ppts suku ke suku kepada 74 peratus," katanya.
Bagaimanapun, AirAsia Thailand merekodkan penyusutan sebanyak 65 peratus suku ke suku dari segi jumlah penumpang dibawa akibat penurunan permintaan susulan berlakunya gelombang baharu COVID-19 yang bermula pada pertengahan Disember 2020.
"Namun, permintaan perjalanan udara domestik itu meningkat pada Mac susulan pelaksanaan program vaksinasi, lanjutan skim rangsangan pelancongan domestik serta kadar jangkitan yang rendah pada akhir suku berkenaan," katanya.
-- BERNAMA
#AirAsia
#COVID-19
#Thailand
#ASEAN
#program vaksinasi
#gelombang baharu
#operasi
#pelancongan
#rentas negeri