OPEC potong bekalan minyak 1.2 juta tong sehari
Agensi
Disember 1, 2016 10:06 MYT
Disember 1, 2016 10:06 MYT
Pertubuhan Negara-Negara Pengeluar Petroleum (OPEC) mencapai perjanjian pada Rabu untuk mengurangkan pengeluaran sebanyak 1.2 juta tong, kali pertama dalam tempoh lapan tahun, menurut presiden OPEC Mohammed Saleh Al-Sada.
Keputusan ini mengakhiri strategi membanjiri pasaran dengan bekalan untuk melumpuhkan industri minyak shale di Amerika.
Keputusan berkenaan dicapai selepas 14 ahli mengetepikan perbezaan pendapat dan kepentingan masing masing.
"Perjanjiannya ialah OPEC menurunkan kira-kira 1.2 juta tong sehari untuk menetapkan siling pada 32.5 juta tong sehari, berkuatkuasa 1 Januari 2017," kata beliau, yang juga Menteri Tenaga Qatar, pada satu sidang media di sini.
Dalam masa yang sama, negara bukan OPEC dijangka akan turut serta menyokong pemotongan berkenaan.
Susulan daripada pengumuman berkenaan, harga minyak yang naik 7 peratus sebelum ini, kekal kukuh.
Keputusan ini memberi kembali kredibiliti kepada OPEC sebagai pengawal harga dan bekalan global.