OPEC kekal kadar pengeluaran, harga minyak terus rendah

APTN
Disember 7, 2015 19:01 MYT
Dalam pertemuan pada Jumaat, negara ahli OPEC dilaporkan langsung tidak menyentuh mengenai kesediaan mereka untuk patuh kepada had pengeluaran rasmi kini.
Harga minyak mentah terus menurun susulan kegagalan negara ahli Organisasi Negara Pengeksport Petroleum (OPEC) mencapai persetujuan mengenai had pengeluaran minyak mereka.
Dalam pertemuan pada Jumaat, negara ahli OPEC dilaporkan langsung tidak menyentuh mengenai kesediaan mereka untuk patuh kepada had pengeluaran rasmi kini.
Had pengeluaran rasmi OPEC kini adalah 30 juta tong sehari.
Sejak lebih setahun lalu, negara OPEC telah mengeluarkan dari setengah juta hingga dua juta tong minyak melebihi had ini.
Lebihan pengeluaran ini menjadi faktor utama kejatuhan harga minyak mentah dunia lebih 60 peratus sejak Jun 2014.
Pada Jumaat, OPEC mengambil keputusan untuk meneruskan corak pengeluaran ini.
Tegas Setiausaha Agung OPEC, Abdallah El-Badri, ini adalah kerana pelbagai faktor perlu diambil kira sebelum mengambil sebarang keputusan mengenai had pengeluaran.
“Minyak dari Iran akan mula masuk ke pasaran, jadi kami perlu cari cara untuk menyesuaikan diri dengan kemasukan ini.
Kami juga perlu mengambil kira perubahan pengeluaran dari semasa ke semasa, jadi kami perlu menangguhkan keputusan ini hingga ke mesyuarat akan datang,” kata El-Badri.
Sementara itu Presiden OPEC Emmanuel Kachikwu menegaskan, langkah menstabilkan harga minyak memerlukan lebih dari sekadar pengurangan had pengeluaran oleh OPEC.
“Kita perlu juga melihat kepada rundingan antara ahli-ahli OPEC dan bukan OPEC.
OPEC hanya menghasilkan kira-kira 35 hingga 40 peratus minyak dunia, jadi jika kita terus memotong had pengeluaran ia tidak akan menyelesaikan apa-apa masalah,” tegas Kachikwu.
Keputusan OPEC terus menekan pasaran dan pengeluar minyak dunia seperti Rusia dan Amerika Syarikat.
Menurut pakar langkah ini juga memberi isyarat kepada pengeluar lain bahawa OPEC sanggup mengekalkan harga rendah demi mempertahankan perkongsian pasaran minyak dunia mereka.
Penganalisa menjangka OPEC akan terus mengekalkan corak pengeluaran ini sehingga pertemuan seterusnya pada Jun 2016.
Tambahan lagi, harga minyak mentah dunia juga dijangka akan terus ditekan apabila Iran meningkatkan eksport minyaknya setelah sekatan ekonomi ke atas negara itu dimansuhkan sepenuhnya.
#harga minyak #minyak #OPEC #Organisasi Negara Pengeksport Petroleum #shale
;