OM Sarawak, Unimas jalin kerjasama bangunkan tenaga kerja mahir teknologi pembuatan
Dagang News
Februari 12, 2022 10:30 MYT
Februari 12, 2022 10:30 MYT
KUALA LUMPUR: OM Holdings Limited menerusi anak syarikatnya, OM Sarawak pada Jumaat telah menandatangani memorandum perjanjian (MoA) bersama Universiti Malaysia Sarawak (Unimas) untuk penganugerahan program Sijil Teknologi Pembuatan (Peleburan).
Majlis menandatangani perjanjian itu disaksikan Pembantu Menteri II Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak, Dr Annuar Rapaee; Naib Canselor Unimas, Prof Datuk Dr. Mohamad Kadim Suaidi dan Pengarah Urusan OM Sarawak, Chen Xiao Dong.
Program sijil yang akan dikendalikan Fakulti Kejuruteraan Unimas itu terdiri daripada 9 komponen modul mata pelajaran.
Bahagian teori program terdiri daripada 8 modul dijalankan dalam tempoh 4 minggu dan akan dianjurkan, diurus dan dikendalikan fakulti tersebut di kilang OM Sarawak di Taman Perindustrian Samalaju, Bintulu, Sarawak.
Modul ke-9 program, latihan industri dilaksanakan dalam tempoh 6 bulan oleh tenaga profesional mahir OM Sarawak dan modul akhir juga akan disahkan oleh Unimas.
Pengurus Besar, Sumber Manusia dan Pentadbiran OM Sarawak, Lisa Chee berkata, program itu bertujuan untuk membangunkan sekumpulan bakat peleburan mahir di Sarawak bagi mengurangkan kebergantungan kepada kepakaran asing pada masa ini.
"Program ini adalah sebahagian daripada inisiatif OM Sarawak untuk meningkatkan kemahiran dan meningkatkan kecekapan pekerja tempatan, meningkatkan kerjaya serta peluang pertumbuhan pendapatan pengendali tempatan," katanya dalam kenyataan.
Program tersebut menandakan satu lagi kejayaan dalam usaha yang dijalankan OM Sarawak untuk menyediakan sokongan peningkatan kemahiran tenaga kerja tempatan negeri.
Selain program itu, usaha berterusan lain telah dijalankan bagi membangunkan bakat peleburan tempatan seperti memperuntukkan juruteknik dan jurutera berdedikasi untuk reka bentuk dan pemetaan kurikulum, pembangunan kerjaya serta latihan.
Semua pelatih tempatan ditugaskan mentor berpengalaman untuk memudahkan latihan dan pembangunan kemahiran dengan cara yang selamat.
Pelatih tempatan yang menjalani latihan sepenuh masa menerima imbuhan penuh.
Setakat ini OM Sarawak telah merekodkan 785 contoh peningkatan kemahiran melalui program, mempromosikan pekerja kepada peranan mahir dan teknikal. - DagangNews.com