Nvidia umum hala tuju bagi semikonduktor baharu, platform Rubin pada 2026

Bernama
Jun 3, 2024 13:30 MYT
Jensen Huang berkata falsafah asas syarikat itu adalah membina keseluruhan skala pusat data, pemisahan penjualan dalam 'ritma setahun' serta memacu segala-galanya sehingga mencecah had kemampuan teknologi. - Gambar fail/Reuters
TAIPEI: Syarikat gergasi teknologi global Nvidia Corporation mengumumkan pelan hala tuju terbaharunya bagi kelompok semikonduktor baharu yang disifatkan bakal tiba dalam 'one year rhythm' atau ritma setahun, dengan platform Rubin yang dijadualkan bagi keluaran 2026, akan menggantikan platform Blackwell.
Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif Jensen Huang dalam ucaptama menjelang acara Computex 2024 di sini, berkata falsafah asas syarikat itu adalah membina keseluruhan skala pusat data, pemisahan penjualan dalam 'ritma setahun' serta memacu segala-galanya sehingga mencecah had kemampuan teknologi.
Kenyataan itu dibuat selepas selepas Jensen melancarkan pelbagai sistem dijana kerangka Nvidia Blackwell yang menampilkan unit pemprosesan pusat (CPU) Grace, rangkaian dan infrastruktur Nvidia untuk perusahaan mewujudkan kemudahan atau kilang dan pusat data kecerdasan buatan (AI) untuk memacu gelombang kejayaan AI generatif seterusnya.
"Revolusi perindustrian selanjutnya sudah pun bermula. Syarikat-syarikat dan negara-negara bekerjasama dengan Nvidia untuk mengalihkan pusat data tradisional bernilai sehingga trilion dolar kepada pengkomputeran yang dipercepat dan membina jenis pusat data baharu - kemudahan AI untuk menghasilkan komoditi baharu iaitu AI.
"Daripada pengeluar pelayan, rangkaian dan infrastruktur sehingga kepada pemaju perisian, seluruh industri bersiap sedia untuk Blackwell mempercepat inovasi berkuasa AI bagi setiap bidang," katanya.
Jensen berkata rakan sekutu ekosistem komprehensif Nvidia termasuk Taiwan Semiconductor Manufacturing Company (TSMC), pengeluar semikonduktor terkemuka di dunia dan rakan Nvidia serta pembuat elektronik global, menyediakan komponen utama untuk mewujudkan kilang AI berkenaan.
Ini termasuk inovasi pembuatan seperti rak pelayan, penghantaran kuasa, penyelesaian penyejukan serta pelbagai yang lain.
"Berikutan itu, infrastruktur pusat data baharu dapat dimajukan serta digunakan dengan pantas dalam memenuhi keperluan perusahaan dunia dan dipercepat lagi oleh teknologi Blackwell, rangkaian Nvidia Quantum-2 atau Quantum-X800 InfiniBand, rangkaian Nvidia Spectrum-X Ethernet dan unit pemprosesan data (DPU) Nvidia BlueField-3.
"Perusahaan juga boleh mendapat akses platform perisian Nvidia AI Enterprise yang meliputi perkhidmatan mikro Nvidia NIM untuk mencipta dan menjalankan aplikasi AI generatif bagi gred pengeluaran," katanya.
Pada Mac lepas, YTL Power International mengumumkan pembentukan pusat data YTL AI Cloud di Johor iaitu penyedia khusus pengkomputeran dipertingkat berasaskan unit pemprosesan grafik berskala besar (GPU), dan penggunaan DGX Cloud berkuasa Nvidia Grace Blackwell, superkomputer AI untuk melonjakkan lagi pembangunan AI generatif.
-- BERNAMA
#NVIDIA #pelan hala tuju terbaharu #semikonduktor baharu y #platform Rubin #kecerdasan buatan #AI Generatif
;