NVIDIA atasi Microsoft sebagai syarikat paling bernilai

Amanz
Jun 19, 2024 10:10 MYT
Saham NVIDIA melonjak naik sejak setahun lalu kerana permintaan tinggi untuk cip serta GPU mereka yang pada ketika ini mendominasi lebih 90% pasaran pemecut AI.
NVIDIA pagi ini melangkaui Microsoft untuk menjadi syarikat dengan nilai pasaran tertinggi dunia.
Nilai pasaran NVIDIA ketika artikel ditulis ialah $3.335 trilion (~RM 15.68 trilion) - lebih tinggi berbanding Microsoft ($3.317 trilion) dan Apple ($3.285 trilion).
Ketiga-tiga syarikat ini kekal sebagai syarikat yang mempunyai nilai pasaran melebihi $3 trilion.
Hanya seminggu lalu Apple memintas Microsoft sebagai syarikat dengan nilai pasaran tertinggi diapungkan oleh sentimen positif pasca WWDC.
Microsoft kemudian kembali ke kedudukan teratas kerana komputer pertama Copilot+ PC akan dilancarkan minggu ini.
Saham NVIDIA melonjak naik sejak setahun lalu kerana permintaan tinggi untuk cip serta GPU mereka yang pada ketika ini mendominasi lebih 90% pasaran pemecut kecerdasan buatan (AI).
Walaupun saham semakin meningkat, terdapat sebilangan yang melihatnya sebagai “gelembung AI” yang akan meletup seperti gelembung dot com lebih 20 tahun lalu.
#NVIDIA #Microsoft #Apple #nilai pasaran
;