Nu Ideaktiv, EML tawar pengiklanan menyeluruh kepada PKS
Ehsan A Marisah
Disember 1, 2022 15:03 MYT
Disember 1, 2022 15:03 MYT
SHAH ALAM: Nu Ideaktiv Sdn Bhd (Nu Ideaktiv) menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan Enrichment Media Lab Sdn Bhd (EML) bagi meningkatkan daya saing perusahaan kecil dan sederhana (PKS) menerusi pengiklanan di platform media.
Ketua Pegawai Eksekutif Nu Ideaktiv, Syamil Fahim Mohamed Fahim berkata, menerusi dokumen itu, PKS akan menerima pakej yang lebih menyeluruh dengan bantuan platform yang menjadi peneraju dalam industri bahasa Melayu.
Katanya, NU Ideaktiv memiliki lebih 17 jenama dan akan membantu mereka menyediakan kandungan, platform dan pelaksanaan sejajar kerjasama dibuat.
“Melalui kerjasama ini, kebanyakan inisiatif dan inventori yang dimiliki Nu Ideaktiv dapat diterjemahkan kepada satu projek pengiklanan yang memberi impak yang besar kepada PKS dengan menggunakan secara 360 darjah platform dimiliki.
“Ini termasuk televisyen (TV), digital, radio, majalah dan acara. Kita dapat mencipta dan memberi satu pakej yang memberi impak lebih bermakna kepada mereka,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada Majlis Menandatangani MoU antara Nu Ideaktiv dan EML, di sini, pada Khamis.
Dalam pada itu, Syamil Fahim menambah, MoU terbabit juga menyasarkan peningkatan akses pendigitalan serta pasaran untuk PKS.
“MoU ini dimeterai selama dua tahun, dan kira-kira 100 hingga 200 PKS dijangka dapat bersama dengan kami.
“Selain itu, menerusi kerjasama ini, kami menyasarkan kira-kira 1.5 hingga dua juta pengiklanan setahun dan tiga juta pada tahun seterusnya,” ujarnya.
Sementara itu, Pengarah Urusan EML, Muhamad Ashraf DM Tej Nasir berkata, kepakaran dimiliki pihaknya akan berupaya membantu PKS menembusi sasaran audiens, sekali gus membantu pertumbuhan dan keuntungan syarikat.
“Jika sebelum ini, apabila melihat kepada digital hanya membuat hantaran dan artikel berbayar, tetapi kini kami terapkan pendigitalan yang lebih menyeluruh.
“Sebagai contoh, pembelian iklan untuk jenama Noir bukan sahaja meliputi hantaran, artikel berbayar, malah program bersama PA&MA: Diari Madammu.
“Kebanyakan cara pengiklanan ini banyak dilakukan di syarikat multinasional (MNC) dan PKS selalu ketinggalan.
“Apa yang EML cuba lakukan adalah untuk menaikkan tahap dan keberkesanan pengiklanan PKS setaraf dengan jenama terkemuka di luar,” ujarnya.
Katanya, kerjasama awal lain yang telah dilakukan adalah menerusi penerbitan rancangan TV IMPIANA Makeover Ruang Selebriti yang dihiasi oleh Ella furniture dan bakal bersiaran di saluran Astro pada awal tahun depan.
Nu Ideaktiv merupakan syarikat media usaha sama Astro dan Karangkraf, ditubuhkan pada Mei 2018 dan memiliki lebih 30 tahun pengalaman dalam industri media dan peneraju dalam kandungan media berbahasa Melayu.
Manakala, EML merupakan agensi media dan penasihat jenama yang pakar dalam idea, konsep dan kajian perniagaan relevan, selain pengalaman dalam pelaksaaan projek skala besar dan sederhana serta kerjasama jenama terkenal dalam peniagaan PKS.