NTP berjaya keluarkan Malaysia daripada perangkap pendapatan sederhana - PM Najib

Bernama
Mei 23, 2017 23:15 MYT
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berucap membentangkan Laporan Tahunan Program Transformasi Negara 2016 di Dewan Agung Tuanku Canselor, Universiti Teknologi Mara (UiTM), malam Selasa. - Foto BERNAMA
Pelaksanaan Program Transformasi Negara (NTP) terbukti berjaya membawa Malaysia keluar daripada perangkap pendapatan sederhana sepertimana dialami pada tahun 2010, kata Datuk Seri Najib Tun Razak.
Ketika berkongsi kejayaan itu, Perdana Menteri berkata NTP turut mencatat pencapaian membanggakan apabila mampu merapatkan jurang bagi sasaran pendapatan tinggi kepada 18 peratus pada hari ini daripada 33 peratus pada tahun 2010.
"Pelaksanaan NTP oleh Kerajaan sebenarnya merupakan satu usaha penting untuk membantu meningkatkan pendapatan serta kuasa beli rakyat Malaysia sewajarnya," kata Perdana Menteri ketika berucap pada majlis pelancaran Laporan Tahunan 2016 NTP di sini, malam Selasa.
Mengulas selanjutnya, Perdana Menteri berkata, Malaysia juga setakat ini telah berjaya mencapai Pendapatan Negara Kasar (PNK) per kapita sebanyak US$10,010 berbanding US$8,230 pada tahun 2010.
Beliau berkata, Bank Dunia yang mengguna pakai kaedah Atlas mendefinisikan PNK per kapita bagi negara maju pada tahun 2010 adalah pada nilai sebanyak US$12,275.
"Terkini, dalam tempoh enam tahun, anggaran sasaran bagi PNK per kapita 2016 untuk negara maju adalah pada nilai US$12,272," kata Najib.
-- BERNAMA
#Malaysia #Najib Razak #NTP #perangkap pendapatan sederhana #Transformasi Negara