NTIS terima pendaftaran 1,200 syarikat sejak pelancaran pada Jun

Hakim Rahman, Afiezy Azaman
Oktober 12, 2020 12:57 MYT
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif MaGIC, Dzuleira Abu Bakar, sektor perubatan dan penjagaan kesihatan, serta pertanian, menerima permohonan paling tinggi dalam inisiatif NTIS.
KUALA LUMPUR: Sebanyak 1,200 syarikat telah berdaftar dalam inisiatif National Technology and Innovation Sandbox (NTIS) di bawah Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA) setakat Isnin.
Daripada jumlah itu, sebanyak 200 permohonan melepasi kriteria ditetapkan dan kini dalam peringkat penilaian.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Pusat Inovasi dan Kreativiti Global Malaysia (MaGIC) Dzuleira Abu Bakar, terdapat proses yang perlu dilalui dan ditapis untuk dimasukkan ke dalam NTIS.
"Kriteria paling penting adalah, syarikat-syarikat ini mesti ditubuhkan di Malaysia dan perlu melepasi Tahap Kesediaan Teknologi (TRL) 6.
“Penilaian masih dibuat pada peringkat ini untuk memilih kemasukan ke dalam NTIS daripada 1,200 permohonan yang berdaftar,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam Program Awani Pagi Segmen Realiti Rakyat Pemulihan, hari ini.
Melalui NTIS, syarikat pemula teknologi kini boleh mendapatkan bantuan dana RM100 juta yang diperuntukkan melaluinya dan memperoleh beberapa skim pembiayaan maksimum RM4 juta.
Inisiatif tersebut bagi menyelesaikan beberapa permasalahan seperti kebergantungan kepada tenaga kerja asing, ketahanan rantaian bekalan tempatan, keselamatan makanan dan kesihatan, serta kepincangan infrastruktur digital, sekali gus mempercepatkan pembangunan penyelesaian teknologi baharu.
“Kita juga ada syarikat-syarikat yang sudah diluluskan pendanaan dan ia akan diberikan kepada agensi pelaksanaan dan rakan kepada NTIS, iaitu Perbadanan Pembangunan Teknologi Malaysia," tambahnya.
Dzuleira menyatakan, sektor perubatan dan penjagaan kesihatan, serta pertanian, menerima permohonan paling tinggi dalam inisiatif NTIS.
“Jika kita lihat kesan daripada COVID-19 ada beberapa situasi. Iaitu kebergantungan kepada tenaga buruh asing; isu syarikat kecil dan sederhana yang tidak mengguna pakai teknologi kerana merasa susah untuk adaptasi kepada norma baharu; dan proses manual tidak mengguna teknologi turut terjejas.
“Permohonan pendaftaran NTIS sangat memberangsangkan. Penjagaan kesihatan serta pertanian paling tinggi - kedua-dua sektor ini melibatkan manual, tenaga kerja dan interaksi awam.
"Justeru, di situ ada aspek-aspek yang kita lihat ada solusi yang telah didaftarkan melalui NTIS,” jelasnya.
Tambah Dzuleira, NTIS adalah projek yang berskala besar dan beliau yakin dana permulaan RM100 juta itu akan ditambah untuk dijalankan dalam jangka masa yang panjang.
“Saya percaya, di bawah perancangan ekonomi seterusnya, dana untuk NTIS juga sudah diperuntukkan,” ujarnya.
#NTIS #PENJANA #MaGIC #Dzuleira Abu Bakar #syarikat #tenaga kerja asing #infrastruktur digital #MTDC #PKS #Tahap Kesediaan Teknologi #syarikat pemula #teknologi #National Technology and Innovation Sandbox #bantuan dana
;