Noktah kemiskinan: RM1.5 bilion dilulus untuk program jana pendapatan golongan sasar
Bernama
September 11, 2023 15:55 MYT
September 11, 2023 15:55 MYT
KUALA LUMPUR: Sejumlah RM1.5 bilion telah diluluskan untuk menggerakkan program dan projek yang mampu menjana pendapatan bagi golongan sasar dalam menjamin kesejahteraan rakyat, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Beliau berkata demi menjamin kesejahteraan rakyat secara keseluruhannya, kerajaan berikrar untuk menoktahkan kemiskinan tegar pada tahun ini juga tanpa mengira etnik, mahupun keberadaan mereka di bandar, desa dan pedalaman.
"Langkah segera akan diambil untuk membasmi kemiskinan dengan memperkasa golongan rentan melalui pewujudan pelbagai peluang pekerjaan dan pengukuhan perlindungan sosial.
"Sehingga 15 Ogos 2023, kerajaan masih bertungkus lumus menyelamatkan hampir 114,000 keluarga miskin tegar daripada cengkaman kemiskinan," katanya ketika membentangkan Kajian Separuh Penggal (KSP) Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) di Dewan Rakyat di sini hari ini.
Perdana Menteri berkata kerajaan juga telah meluncurkan Inisiatif Pendapatan Rakyat (IPR), suatu inisiatif serampang dua mata yang menumpukan kepada pendapatan isi rumah dan penyelesaian isu struktur ekonomi di mana sehingga 31 Ogos lalu, sebanyak 106,492 permohonan telah diterima untuk menyertai program IPR.
Selain itu program akan diteliti oleh Amanah Ikhtiar, Pertubuhan Kemasyarakatan Rakyat (Pekemas), Tekun Nasional dan program-program melalui Unit Penyelarasan Pelaksanaan, Jabatan Perdana Menteri.
Anwar berkata di samping itu, pelbagai program dan inisiatif pembasmian kemiskinan sedang dilaksanakan oleh kerajaan, antaranya Program Pemerkasaan Ekonomi Komuniti Bandar, Skim Pembangunan Kesejahteraan Rakyat untuk penduduk luar bandar dan Program Pembangunan Ekonomi Orang Asli.
Beliau berkata dalam kerangka ekonomi MADANI, pendekatan kerajaan sesungguhnya merentas kaum, sama ada menoktahkan kemiskinan atau membaiki sekolah daif, namun untuk peruntukan khusus, kerajaan juga melaksanakan program Program Khas Bumiputera Sarawak dan Program Khas Anak Negeri Sabah untuk meningkatkan pendapatan masyarakat setempat.
"Bagi etnik Cina dan India yang berpendapatan rendah, beberapa inisiatif akan terus dilaksanakan di Kampung Baru Cina dan sebagaimana dalam Malaysian Indian Blueprint. Bagi tujuan ini, Unit Transformasi Masyarakat India (MITRA) akan diperkasakan untuk menyokong pembangunan sosioekonomi masyarakat India secara lebih terselaras," katanya.
Anwar berkata keutamaan kerajaan tatkala ini adalah untuk 'menaikkan lantai' dengan menyediakan jaringan sosial yang ampuh buat golongan yang kurang bernasib baik dan 'menaikkan siling' dengan mereformasi industri dan struktur ekonomi negara waima berdepan dengan cabaran keterbatasan fiskal.
Beliau berkata kerajaan juga akan memperkukuh penyediaan perlindungan sosial kepada rakyat melalui Reformasi Perlindungan Sosial yang sedang dikaji untuk menambah baik kecekapan dan keberkesanan Sistem Perlindungan Sosial.
Perdana Menteri berkata bantuan tunai dan program Rahmah akan diteruskan dan ditambah baik bagi memastikan jaringan keselamatan sosial terus ditingkatkan.
Beliau berkata menerusi gagasan Malaysia MADANI kerajaan berhasrat untuk menjamin kesejahteraan rakyat dalam pengertian yang lebih syumul dan tidak hanya bertumpu kepada aspek ekonomi dan pendapatan rakyat semata-mata malah mencakupi sisi kesejahteraan yang lebih menyeluruh untuk mengangkat darjat hidup rakyat dan ini termasuk aspek kerohanian, kesihatan, perumahan, perpaduan sosial dan pemerkasaan masyarakat MADANI.
Anwar berkata kerajaan juga prihatin terhadap pembangunan kerohanian rakyat serta sentiasa istiqamah mendukung usaha-usaha yang mampu memugar keinsafan dan membangunkan sahsiah terpuji.
"Kerajaan juga proaktif menganjurkan wacana keagamaan di tanah air bersama-sama para ulama dan ilmuan tersohor," katanya.
Perdana Menteri berkata melalui anjakan utama Pembudayaan Masyarakat MADANI, pembentukan masyarakat MADANI akan dilaksanakan berlandaskan fahaman Maqasid Syariah, prinsip akhlak dan kerohanian, yang mencakupi usaha menerapkan nilai insaniah dan sahsiah dalam perkhidmatan awam dan sektor pendidikan serta menginstitusikan penyelidikan sosial.
Beliau berkata semua program dan latihan yang dianjurkan akan memastikan kefahaman asas tentang Islam bagi umat Islam dan penekanan aspek nilai, budaya dan akhlak bagi rakyat keseluruhannya.
-- BERNAMA