Nilai saham Astro dijangka meningkat pada separuh kedua 2020 - Penganalisis

Astro Awani
September 22, 2020 18:11 MYT
Penganalisis ekonomi mengekalkan ramalan positif berhubung nilai saham Astro Malaysia Holdings Bhd (Astro) yang dijangka meningkat susulan prestasi kewangan yang baik dalam separuh kedua tahun kewangan kumpulan.
Penganalisis ekonomi mengekalkan ramalan positif berhubung nilai saham Astro Malaysia Holdings Bhd (Astro) yang dijangka meningkat susulan prestasi kewangan yang baik dalam separuh kedua tahun kewangan kumpulan itu.
Perkembangan positif itu antara lain disumbang oleh program televisyen, Go Shop yang membantu meningkatkan pendapatan kumpulan secara signifikan.
Penganalisis dari Macquarie Research, Prem Jeerajasingam berkata, program itu telah menyumbang peningkatan keuntungan sebanyak empat peratus dari suku ke suku untuk Astro.
Tambahnya, pendapatan Go Shop melonjak 52 peratus dari suku ke suku kepada RM145 juta dan menjana keuntungan sebelum cukai pada suku kedua berjumlah RM8 juta.
Penganalisis dari DBS Regional Research, Toh Woo Kim turut senada dan menyatakan pendapatan kumpulan meningkat sebanyak 3.6 peratus suku ke suku sebahagian besarnya disebabkan oleh peningkatan barang dagangan dari Go Shop.
Dalam pada itu, penganalisis dari RHB Research, Jeffrey Tan menyatakan pengiklanan di Astro mula menunjukkan tanda pemulihan bermula Jun lepas.
Menurutnya, dengan program tempatan kembali bersiaran, pengurusan merekodkan pemulihan dalam perbelanjaan pengiklanan bermula dari bulan Jun.
Pandangan hampir sama turut dikongsikan penganalisis dari CGS-CIMB, Kamarul Anwar dan Mohd Shanaz Noor Azam yang meramalkan prestasi Astro lebih baik pada separuh kedua tahun kewangan kumpulan.
Jelasnya, ia disokong dengan penjualan iklan dan kutipan bil yang menjadi normal selepas Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilonggarkan pada Jun 2020.
#adex #analisis #Astro #Astro Malaysia Holdings Bhd #cukai #ekonomi #Go Shop #hasil #iklan #keuntungan #Malaysia #pendapatan #perintah kawalan pergerakan #PKP
;