Nilai rumah tidak terjual cecah RM22.5 bilion - Zuraida

Bernama
Oktober 25, 2018 12:44 MYT
ZURAIDA: 73 peratus daripada rumah yang tidak terjual itu merupakan kategori rumah mampu milik yang bernilai RM250,000 ke bawah. - Gambar fail
Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan merekodkan rumah-rumah yang tidak terjual di seluruh negara bernilai RM22.5 bilion.
Menterinya Zuraida Kamaruddin berkata, 73 peratus daripada rumah yang tidak terjual itu merupakan kategori rumah mampu milik yang bernilai RM250,000 ke bawah.
"Kerajaan telah duduk (berbincang) dengan Institut Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan Malaysia (Rehda) dan pihak pemaju untuk menganjurkan satu ekspo pemilikan rumah seperti yang dilaksanakan pada 1998 hingga 1999 bagi menjual rumah-rumah yang tidak terjual tersebut," katanya.
Beliau menjawab pertanyaan Fong Kui Lun (PH-Bukit Bintang) mengenai langkah kementerian untuk mengatasi masalah lambakan unit rumah yang tidak dapat dijual berikutan kegagalan para pembeli mendapatkan pinjaman perumahan daripada bank dan institusi kewangan.
Zuraida berkata kementerian juga telah berbincang dengan pelbagai pihak termasuk Bank Negara Malaysia untuk membantu menyediakan skim-skim pembiayaan rumah yang membolehkan syarat kelulusan pinjaman rumah dilonggarkan.
#Bank Negara Malaysia #ekso pemilikan rumah #Fong Kui Lun #Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan #kesejahteraan rakyat #Mahathir Mohamad #Malaysia Baharu #merancak ekonomi #perkhidmatan awam #REHDA #rumah
;