Nilai ringgit dibuka hampir tidak berubah berbanding dolar AS

Bernama
November 30, 2022 03:20 MYT
Pada 9 pagi, mata wang tempatan naik sedikit kepada 4.5050/5100 berbanding dolar AS daripada penutup semalam pada 4.5060/5130. -Gambar fail/BNM
KUALA LUMPUR: Nilai ringgit dibuka tinggi sedikit berbanding dolar AS pada hari Rabu apabila dolar AS menyusut di tengah-tengah tekanan inflasi yang semakin meningkat, kata seorang penganalisis.
Pada 9 pagi, mata wang tempatan naik sedikit kepada 4.5050/5100 berbanding dolar AS daripada penutup semalam pada 4.5060/5130.
Pengarah Urusan SPI Asset Management Stephen Innes berkata pelabur akan mengikuti ucapan pengerusi Rizab Persekutuan (Fed) Amerika Syarikat (AS) Jerome Powell lewat hari ini, kerana ia akan memberikan petunjuk tentang langkah Rizab Persekutuan yang seterusnya.
Sementara itu, peniaga ActivTrades Dyogenes Rodrigues Diniz berkata kenaikan nilai dolar AS baru-baru ini didorong oleh pengeluaran data Keyakinan Pengguna Lembaga Persidangan (CB) AS, yang lebih tinggi daripada jangkaan.
"Kenaikan dolar AS disebabkan perbelanjaan pengguna yang lebih tinggi dan cenderung untuk menyebabkan tekanan inflasi. Ini boleh mendorong Rizab Persekutuan menaikkan kadar faedah bagi membendung kenaikan harga," katanya.
Sementara itu, ringgit juga didagangkan lebih tinggi berbanding sekumpulan mata wang utama.
Nilai ringgit menambah nilai berbanding dolar Singapura kepada 3.2780/2821 daripada 3.2804/2860 pada penutup semalam dan meningkat berbanding yen Jepun kepada 3.2497/2537 daripada 3.2614/2677 sebelumnya.
Ringgit turut meningkat berbanding pound Britain kepada 5.3943/4003 daripada 5.4004/4088 pada Selasa dan mengukuh berbanding euro kepada 4.6591/6642 daripada 4.6705/6777 semalam.
-- BERNAMA
#ringgit #dolar AS #Stephen Innes #SPI Asset Management