Nilai pasaran Nvidia cecah AS$3 trilion

Shaznina Rozman
Jun 6, 2024 11:20 MYT
Peningkatan ini berlaku ketika syarikat itu sedang membuat persediaan untuk membahagikan sahamnya, 10 kepada satu, dalam usaha menarik minat pelabur individu. - Foto fail/Amanz
NILAI pasaran Nvidia melonjak ke paras tertinggi, mencecah AS$3 trilion pada Rabu.
Ini menjadikan pengeluar cip AI itu syarikat kedua paling bernilai di dunia, mengatasi Apple.
Peningkatan ini berlaku ketika syarikat itu sedang membuat persediaan untuk membahagikan sahamnya, 10 kepada satu, dalam usaha menarik minat pelabur individu.
Saham pengeluar cip dari Silicon Valley ini meningkat 5 peratus, mendorong nilai pasaran sebanyak AS$3 trilion.
Pada masa sama, nilai pasaran Apple berada pada AS$3 trilion ketika sahamnya naik 2 peratus.
Manakala, Microsoft kekal sebagai syarikat paling bernilai di dunia, dengan nilai pasaran sebanyak AS$3.15 trilion dengan 1.8 peratus kenaikan.
Dalam perkembangan sama, menurut Reuters, Tesla dijangka akan membelanjakan antara AS$3 bilion hingga AS$4 bilion untuk pembelian perkakasan cip Nvidia tahun ini.
Ketua Pegawai Eksekutif, Elon Musk menyatakan hasratnya itu dalam satu hantaran di platform X pada Selasa.
Musk berkata, perbelanjaan modal berkaitan kecerdasan buatan (AI) berjumlah AS$10 bilion tahun ini dan separuh akan digunakan dalam perbelanjaan dalaman.
#NVIDIA #kecerdasan buatan #Elon Musk
;