Nilai jualan sektor pembuatan naik 6.5 peratus kepada RM148 bilion - DOSM
Bernama
Mac 13, 2023 16:29 MYT
Mac 13, 2023 16:29 MYT
KUALA LUMPUR: Nilai jualan sektor pembuatan Malaysia naik kepada 6.5 peratus kepada RM148 bilion pada Januari 2023 berbanding 8.8 peratus pada bulan sebelumnya, kata Jabatan Perangkaan Malaysia (DoSM).
Ketua Perangkawan, Datuk Seri Mohd Uzir Mahidin berkata momentum positif yang berterusan diperkukuh oleh pertumbuhan dua angka dalam peralatan pengangkutan dan perkilangan lain (14 peratus) serta subsektor petroleum, kimia, getah dan plastik (10.1 peratus).
"Bagaimanapun, nilai jualan yang didaftarkan pada Januari adalah yang paling rendah dicatatkan sejak Mei 2022," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata nilai jualan industri berorientasikan eksport yang menyumbang 71.3 peratus daripada jumlah jualan, mencatatkan pertumbuhan lebih perlahan sebanyak 6.9 peratus pada Januari berbanding 9.2 peratus pada Disember 2022.
"Prestasi sederhana itu juga seiring dengan penurunan eksport produk perkilangan pada bulan itu," katanya.
Trend yang sama dicatatkan dalam nilai jualan industri berorientasikan domestik yang menyederhana kepada 5.6 peratus daripada pertumbuhan 7.7 peratus pada bulan sebelumnya.
"Berbanding dengan bulan sebelumnya, nilai jualan bagi industri berorientasikan eksport terus merosot selama empat bulan berturut-turut, mencatatkan negatif 6.9 peratus pada Januari manakala industri berorientasikan dalam negeri berkurangan sebanyak 1.6 peratus," tambahnya.
Mengulas mengenai bilangan pekerja, Mohd Uzir berkata terdapat 2.34 juta orang yang terlibat dalam sektor pembuatan pada Januari, peningkatan sebanyak 3.0 peratus berbanding 2.27 juta orang yang didaftarkan setahun lalu (Disember 2022: 3.4 peratus).
Kenaikan itu kebanyakannya disebabkan oleh peningkatan dalam bilangan pekerja dalam makanan, minuman dan produk tembakau (4.7 peratus); produk elektrik dan elektronik (4.3 peratus) dan subsektor petroleum, kimia, getah dan plastik (2.1 peratus).
Susulan aliran positif dalam pekerjaan, gaji dan upah yang dibayar dalam sektor pembuatan meningkat empat peratus, berjumlah RM8.18 bilion pada Januari 2023 dengan purata gaji bulanan dan gaji setiap pekerja sebanyak RM3,494, mencatatkan peningkatan sebanyak 1.0 peratus tahun ke tahun, katanya.
Nilai jualan bagi setiap pekerja ialah RM63,200 yang melonjak 3.4 peratus berbanding bulan yang sama pada tahun sebelumnya, kata Mohd Uzir.
-- BERNAMA