Nilai jualan sektor pembuatan naik 3.3 peratus, cecah RM146.8 bilion pada Mei

Bernama
Julai 12, 2023 13:48 MYT
Pencapaian itu disokong oleh pertumbuhan kukuh antaranya peralatan pengangkutan dan pengeluar lain, produk mineral bukan logam serta produk elektrik dan elektronik. - Gambar hiasan/BERNAMA
KUALA LUMPUR: Nilai jualan sektor pembuatan kembali positif dengan mencatat pertumbuhan 3.3 peratus tahun ke tahun kepada RM146.8 bilion dalam Mei 2023, kata Jabatan Perangkaan Malaysia.
Pencapaian itu disokong oleh pertumbuhan kukuh antaranya peralatan pengangkutan dan pengeluar lain, produk mineral bukan logam serta produk elektrik dan elektronik, kata jabatan itu dalam kenyataan hari ini.
Kelengkapan pengangkutan dan pembuatan lain mencatat pertumbuhan kukuh 17.3 peratus manakala produk mineral bukan logam logam asas dan produk logam yang direka (8.7 peratus) dan produk peralatan elektrik dan elektronik (8.2 peratus).
Ini menjadikan prestasi keseluruhan sektor pembuatan bagi Januari hingga Mei 2023 berjumlah RM741.2 bilion, peningkatan sebanyak 5.1 peratus berbanding tempoh sama pada tahun lepas.
"Nilai jualan sektor pembuatan meningkat 3.3 peratus pada Mei 2023 setelah turun 2.0 peratus pada bulan sebelumnya.
"Bagi perbandingan bulan ke bulan, nilai jualan itu pulih kepada 1.3 peratus berbanding negatif 7.2 peratus yang direkodkan pada April 2023," katanya.
Menurut jabatan itu, nilai jualan industri berorientasikan eksport yang merangkumi 71.6 peratus daripada jumlah jualan, turut pulih sedikit sebanyak 0.2 peratus pada Mei 2023 selepas susut pada April lepas.
Kenaikan ini disumbangkan terutamanya oleh industri pembuatan komputer, produk elektronik dan optikal (7.9 peratus); pembuatan kayu, produk kayu dan gabus (7.5 peratus) dan pembuatan kok dan produk petroleum bertapis (2.4 peratus).
"Namun begitu, industri berorientasikan domestik mengekalkan momentum positif untuk merekodkan pertumbuhan dua digit sebanyak 12.3 peratus pada Mei 2023 (April 2023: 1.6 peratus).
"Selain itu, prestasi kukuh industri berorientasikan domestik disokong terutamanya oleh industri pembuatan kenderaan bermotor, treler dan separa treler (20.1 peratus); pembuatan pemprosesan produk makanan (12.9 peratus) dan pembuatan produk logam, kecuali mesin dan kelengkapan (10.6 peratus)," katanya.
Bagi tempoh lima bulan pertama tahun ini, bilangan pekerja meningkat sebanyak 2.6 peratus kepada 2.36 juta orang manakala gaji dan upah meningkat 4.1 peratus kepada RM40.6 bilion.
Jabatan Perangkaan berkata, dalam tempoh tersebut, nilai jualan bagi setiap pekerja mencatat pertumbuhan sebanyak 2.5 peratus kepada RM314,636.
-- BERNAMA
#sektor pembuatan #Jabatan Perangkaan Malaysia #produck elektrik #Malaysia
;