Nilai jualan sektor pembuatan bagi 2023 cecah RM1.8 trilion

Bernama
Februari 7, 2024 17:34 MYT
Nilai jualan keseluruhan bagi sektor pembuatan mencecah RM1.8 trilion pada 2023, meningkat sedikit sebanyak 0.2 peratus berbanding 2022. - Gambar hiasan/Bernama
KUALA LUMPUR: Nilai jualan keseluruhan bagi sektor pembuatan mencecah RM1.8 trilion pada 2023, meningkat sedikit sebanyak 0.2 peratus berbanding 2022, kata Jabatan Perangkaan Malaysia.
Dalam kenyataan Perangkaan Pembuatan Bulanan Malaysia bagi Disember 2023 yang dikeluarkan hari ini, jabatan itu berkata nilai jualan sektor pembuatan mencatat penurunan 4.2 peratus kepada RM149.9 bilion pada Disember 2023 iaitu yang terbesar sejak Mei 2020 (20.4 peratus) dan dipengaruhi terutamanya oleh penyusutan berterusan dalam subsektor petroleum, kimia, getah dan plastik sejak Jun 2023.
Ketua Perangkawan Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata penurunan itu mencatat negatif 13.6 peratus pada Disember 2023 (November 2023: -10.8 peratus).
"Ini ditambah lagi dengan penurunan subsektor peralatan elektrik dan elektronik sebanyak 4.6 peratus (November 2023 : -5.3 peratus) manakala subsektor makanan, minuman dan tembakau susut 2.6 peratus (November 2023: 2.0 peratus).
"Berbanding bulan sebelumnya, nilai jualan menguncup sebanyak 3.3 peratus berbanding RM155.0 bilion yang dicatatkan pada November 2023 (-1.1 peratus)," katanya.
Sementara itu, Jabatan Perangkaan berkata nilai jualan industri berorientasikan eksport yang mewakili hampir 70 peratus daripada jumlah jualan, terus merosot sebanyak 8.4 peratus pada Disember 2023 selepas menguncup 6.9 peratus pada November 2023.
"Penurunan itu terutamanya disebabkan penurunan pembuatan kok dan produk petroleum bertapis pada negatif 24.9 peratus dan diikuti oleh pembuatan minyak dan lemak sayuran serta haiwan (-8.6 peratus) dan pembuatan komputer, produk elektronik dan optikal (-4.8 peratus)," katanya.
Dalam pada itu, Mohd Uzir berkata industri berorientasikan domestik terus kukuh dengan merekodkan pertumbuhan positif sebanyak 6.7 peratus pada Disember 2023 (November 2023: 8.8 peratus) disokong terutamanya oleh pengembangan kukuh dalam pembuatan produk logam, kecuali mesin dan kelengkapan sebanyak 11.5 peratus.
Pembuatan kenderaan bermotor, treler dan semi treler mencatat pertumbuhan 8.0 peratus manakala pembuatan produk pemprosesan makanan meningkat 6.8 peratus.
Bagi perbandingan bulan ke bulan, industri berorientasikan kedua-dua eksport dan domestik masing-masing menurun 3.9 peratus dan 1.8 peratus.
"Sektor pembuatan turut menggaji 2.37 juta pekerja, peningkatan sebanyak 1.7 peratus berbanding 2.34 juta orang pada Disember 2022.
-- BERNAMA
#sektor pembuatan #Jabatan Perangkaan Malaysia #Mohd Uzir Mahidin #meningkat
;