Niaga hadapan minyak sawit mentah berkemungkinan didagangkan tinggi
Bernama
Februari 16, 2013 12:51 MYT
Februari 16, 2013 12:51 MYT
Kontrak niaga hadapan minyak sawit mentah (MSM) di Bursa Malaysia Derivatif, yang ditutup kurang memberangsangkan minggu ini, diunjur pulih minggu depan dengan permintaan baru.
Pedagang minyak sawit kanan Interband Group Jim Teh berkata kebanyakan pedagang dijangka kembali ke pasaran minggu depan selepas cuti Tahun Baru Cina yang panjang dan permintaan yang meningkat bagi minyak makan.
"Kebanyakan pedagang akan kembali aktif sepenuhnya pada Isnin," kata beliau dan menambah bahawa harga dijangka bergerak antara RM2,300 dan RM2,400 setan.
Sementara itu, seorang lagi peniaga menjangka harga kekal tidak menentu minggu depan selepas Jabatan Kastam pada Jumaat menetapkan cukai eksport minyak sawit bagi Mac pada 4.5 peratus naik daripada sifar peratus pada Februari.
"Cukai MSM bagi Mac akan menjadikan komoditi berkenaan lebih mahal dan ia dikenakan setelah harga meningkat mengatasi harga rujukan sebanyak RM2,306 setan.
Malaysia mengeksport MSM bebas cukai selama tiga bulan sejak Disember.
Bagi asas Jumaat ke Jumaat, kontrak Februari 2013 susut RM52 kepada RM2,428 setan, Mac 2013 berkurangan RM82 kepada RM2,452 setan, April 2013 jatuh RM77 kepada RM2,483 setan dan Mei 2013 merosot RM73 kepada RM2,506 setan.
Jumlah dagangan mingguan susut kepada 67,870 lot daripada 138,181 lot minggu lepas manakala kepentingan terbuka naik kepada 198,224 kontrak daripada 192,653 kontrak sebelumnya.
Di pasaran fizikal, Selatan Februari kekal pada RM2,440 setan.