Niaga hadapan emas ditutup rendah
Bernama
Disember 29, 2015 22:44 MYT
Disember 29, 2015 22:44 MYT
Kontrak niaga hadapan emas di Bursa Malaysia Derivatives ditutup rendah pada Selasa seiring dengan pasaran hadapan emas Commodity Exchange (COMEX) Amerika Syarikat, kata seorang peniaga.
Kejatuhan harga minyak mentah memberi tekanan kepada COMEX memandangkan emas berkait rapat dengan minyak dan logam itu dilihat sebagai lindung nilai terhadap inflasi yang diterajui petroleum, kata peniaga Phillip Futures Sdn Bhd Ong Su Ling.
"Sentimen pasaran terus tertekan dengan satu lagi kenaikan kadar Rizab Persekutuan AS dalam tempoh terdekat," kata Ong kepada Bernama hari ini.
Petunjuk positif daripada indeks keyakinan pengguna AS yang akan dikeluarkan petang ini akan mengukuhkan dolar, menambah tekanan kepada harga emas dan sebaliknya, katanya.
Semasa ditutup, Disember 2015, Januari 2016, Februari 2016 dan Mac 2016 susut lapan mata setiap satu, masing-masing kepada RM147.70, RM147.80, RM147.90 dan RM148.15 segram.
Jumlah dagangan meningkat kepada 65 lot bernilai RM963,950 daripada 25 lot bernilai RM372,000, manakala kontrak terbuka menokok kepada 1,294 kontrak daripada 1,265 kontrak sebelumnya.
Pada pukul 5 petang, harga fizikal emas pada RM142.93 segram, turun 40 sen daripada RM143.33 segram pada Isnin.