Nexgram dalam perbincangan awal beli tanah TRX dengan 1MDB
Bernama
Mei 29, 2015 09:29 MYT
Mei 29, 2015 09:29 MYT
Nexgram Holdings Bhd (Nexgram) berkata ia sedang dalam peringkat awal perbincangan dengan 1Malaysia Development Bhd (1MDB) mengenai cadangan memperoleh tanah di Tun Razak Exchange (TRX), milik 1MDB.
Dalam kenyataan kepada Bursa Malaysia pada Khamis, Nexgram berkata ia belum menentukan jenis pembangunan yang akan dilaksanakan, dan sama ada ia akan diusahakan syarikatnya sendiri atau melalui usaha sama dengan pihak lain.
Kenyataan itu diterbitkan sebagai penjelasan kepada laporan media semalam yang melaporkan syarikat pemaju hartanah itu berhasrat memiliki tanah sedia ada terakhir di TRX dan ia berminat untuk menyertai pembangunan projek tersebut.
Nexgram berkata ia akan membuat pengumuman relevan mengikut Keperluan Penyenaraian Pasaran ACE, Bursa Malaysia Securities Bhd sebaik sahaja terma-terma perolehan ditetapkan, dan perjanjian dimuktamad serta diluluskan oleh Lembaga Pengarah.