NETR Fasa 1 dilancar, buka potensi pelaburan RM1.85 trilion menjelang 2050
Hasimi Muhamad
Julai 27, 2023 17:20 MYT
Julai 27, 2023 17:20 MYT
KUALA LUMPUR: Kementerian Ekonomi melancarkan Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR) Fasa 1 yang dijangka membuka peluang pelaburan antara RM435 bilion hingga RM1.85 trilion menjelang tahun 2050, pada Khamis.
Dengan peningkatan pelaburan yang dirangsang oleh NETR, ia membuka peluang untuk mewujudkan lebih banyak pekerjaan berpendapatan dan bernilai tinggi.
Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli berkata NETR Fasa 1 dianggarkan membawa kira-kira 23,000 pekerjaan berimpak tinggi.
“Ia bukan hanya sebuah dokumen yang mengandungi langkah-langkah interim untuk mencapai sasaran sifar bersih kita. Tetapi ia adalah kombinasi strategi dan inisiatif yang boleh mengubah ekonomi, kehidupan, serta kedudukan kita di dunia.
“NETR akan membantu kita mengubah ekonomi dengan membuka peluang usaha niaga yang menguntungkan untuk alam sekitar dan baik bagi ekonomi. Kemampuan kita untuk terus mengandalkan sumber minyak dan gas yang terbatas semakin berkurang," katanya pada Khamis.
Rafizi berucap ketika melancarkan inisiatif tersebut pada program Invest Malaysia KL 2023 anjuran Bursa Malaysia dengan kerjasama CLSA dan Maybank, di ibu negara pada Khamis.
Hadir sama, Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (NRECC), Nik Nazmi Nik Ahmad, serta Pengerusi Bursa Malaysia, Tan Sri Abdul Wahid Omar.
Jelas beliau, NETR Fasa 1 mengandungi 10 inisiatif utama yang akan menentukan dasar dan hala tuju ekonomi dalam tahun-tahun akan datang.
"Salah satu projek ini adalah Zon Tenaga Boleh Perbaharui Terintegrasi yang akan dipimpin oleh Khazanah Nasional Berhad dan dilaksanakan melalui usahasama antara UEM dan ITRAMAS.
"Dengan kapasiti satu gigawatt (GW), Loji Janakuasa Solar Fotovoltaik (PV) ini adalah yang terbesar di Asia Tenggara.
"Dengan usaha yang dipertingkatkan telah menaril pelaburan berprofil tinggi dari blok ekonomi utama berjumlah RM6 bilion. Memorandum Persefahaman (MoU) itu akan ditandatangani hari ini," tambah Rafizi.
10 inisiatif tersebut meliputi peralihan yang cekap; zon tenaga boleh diperbaharui; penyimpanan tenaga; tenaga selamat; hidrogen hijau; hidrogen untuk tenaga; penciptaan permintaan biojisim; mobiliti masa depan; bahan api masa depan; serta penangkapan dan penyimpanan karbon (CCS) untuk industri.
#Rafizi Ramli
#Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara
#Tenaga Boleh Diperbaharui
#Kerajaan Perpaduan