Netizen setuju cadangan beberapa penerbangan MAS beroperasi di klia2
Syafique Shuib
Julai 3, 2016 20:34 MYT
Julai 3, 2016 20:34 MYT
Majoriti pembaca AstroAwani.com setuju dengan cadangan untuk memindahkan sebahagian operasi penerbangan Malaysia Airlines ke klia2.
Cadangan ini dibuat oleh Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif Malaysia Airlines Berhad (MAB), Peter Bellew pada Jumaat.
Menerusi satu undian di akaun Twitter rasmi Astro AWANI, 56 peratus dari 3,330 pengguna Twitter yang mengambil bahagian setuju dengan cadangan ini.
Sementara itu 44 peratus tidak bersetuju.
Bellew berkata langkah ini adalah sebagai daripada pelan pengurangan kos.
"Kos lapangan terbang akan menjadi tumpuan segera dan kami merancang untuk mengendalikan beberapa penerbangan libur dari KLIA2 pada tahun 2017 di mana kosnya lebih rendah iaitu sebanyak RM33 bagi setiap penumpang atau RM5,412 bagi setiap penerbangan berbanding terminal utama KLIA,” katanya dalam satu kenyataan.
Presiden Persatuan Ejen-ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA) Datuk Hamzah Rahmat berkata tindakan MAS untuk menggunakan klia2 akan mengelirukan penumpang.
Katanya, ini kerana MAS memberikan perkhidmatan penuh dan bukan syarikat penerbangan tambang murah.
“MAS tidak boleh menggunakan jenama itu jika ia mahu beroperasi dari KLIA2,” katanya kepada akhbar The Star baru-baru ini.