Netflix untuk Apple TV akan menerima perubahan antara muka yang drastik

Amanz
Jun 7, 2024 06:26 MYT
Netflix akan menggunakan antara muka yang moden dengan memfokuskan informasi kandungan lebih mudah dilihat oleh pengguna. -Amanz
SUDAH bertahun lamanya Netflix pada televisyen menggunakan antara muka yang sama.
Bar sisi dengan tab berbeza, skrin carian dengan kotak abjad, sukar untuk menukar profil, sukar untuk ke laman tetapan dan perlahan.
Perkara ini akhirnya akan berubah kerana kemas kini antara muka yang drastik akan berlaku tidak lama lagi.
Cuma, perubahan ini dikatakan akan berlaku pada Apple TV terlebih dahulu.
Netflix akan menggunakan antara muka yang moden dengan memfokuskan informasi kandungan lebih mudah dilihat oleh pengguna.
Akan datang apabila pengguna memilih filem atau siri TV, informasi akan dipaparkan di tengah skrin dengan judul lain ditolak ke tepi.
Kemudian, jika sesuatu judul itu telah dipilih dan pengguna tidak memilih judul lain – ia akan memaparkan previu dan terus main.
Bar sisi akan dibuang kerana kini akan menggunakan bar di atas. Tab akan diringkaskan seakan aplikasi Netflix untuk iOS.
Ia kini akan memaparkan ikon carian, laman utama, rancangan, filem dan My Netflix.
Buat masa ini, perubahan ini sedang diuji oleh pengguna terpilih dengan ia akan diberikan kepada semua dalam bulan-bulan akan datang. -Amanz
#Netflix #antara muka #apple tv #informasi kandungan