Nestle optimis capai prestasi kewangan yang lebih baik tahun ini

Pritha Manivannan
April 28, 2016 17:55 MYT
Nestle mencatat keuntungan selepas cukai RM591 juta, peningkatan 7.3 peratus berbanding tahun sebelumnya.
Nestle (Malaysia) Berhad optimis mencapai prestasi kewangan yang lebih baik tahun ini berbanding 2015.
Pengarah Urusan Nestle, Alois Hofbauer berkata ini didorong oleh momentum baik melalui inovasi produk barunya.
Pada masa yang sama, Hofbauer berkata syarikatnya bersedia menghadapi cabaran 2016.
"Kami optimis secara berhati-hati. Jika anda lihat kami sekarang menghadapi momentum yang baik dengan inovasi, produk baru dan pengawalan kos. Kami berharap kami dapat memberikan prestasi kewangan yang lebih baik tahun ini.
"Cabaran kami bagi 12 bulan akan datang ialah sentimen pengguna yang masih rendah. Kami berharap sentimen pengguna akan kembali pulih.
"Kami turut menjangkakan harga minyak yang semakin pulih akan mengukuhkan Ringgit. Inilah cabaran yang saya lihat bagi 2016," kata Hofbauer.
Menurutnya, beberapa langkah diambil untuk menghadapi cabaran tahun ini.
Ia termasuk pengoptimuman kos dan pelaburan dalam pembinaan kilang yang akan meningkatkan tahap produktiviti Nestle.
Nestle melabur RM1.5 bilion dalam tempoh tujuh tahun lepas untuk membina kemudahan pengilangan dan pengedaran.
Tambah beliau, penyusutan harga komoditi turut membantu Nestle mengurangkan perbelanjaannya.
Nestle mencatatkan keuntungan selepas cukai RM591 juta bagi tahun kewangan 2015.
Ini merupakan peningkatan 7.3 peratus berbanding tahun sebelumnya.
Bagi suku pertama tahun kewangan 2016, Nestle berjaya mengekalkan momentum pertumbuhan dengan hasil RM1.3 bilion.
Ini merupakan peningkatan 2.8 peratus berbanding suku pertama tahun lepas.
Nestle tidak akan meningkatkan harga produknya
Sementara itu, Hofbauer berkata syarikatnya tidak akan meningkatkan harga produk.
Ini antara langkah yang diambil Nestle untuk mengekalkan sentimen serta keyakinan pengguna.
Menurutnya, sentimen pengguna yang rendah tahun lepas didorong oleh peningkatan harga barang susulan pelaksanaan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST).
"Kami berkerja keras mengoptimumkan kos dan kami tidak akan meningkatkan harga barang.
"Salah satu cara kami menguruskan ini, kami memberikan pengguna barangan yang bernilai tambah bagi wang dan memberikan mereka kestabilan harga.
"Oleh itu, kami tidak akan meningkatkan harga barang tahun ini. Kami akan mengelakkannya sebanyak mungkin dan kami akan memberikan pengguna lebih banyak pilihan produk berkualiti," kata Hofbauer.
Sementara itu, beliau berkata Nestle akan terus berusaha mengeluarkan produk berasaskan cita rasa rakyat Malaysia.
"Produk kami sentiasa berasaskan cita rasa pengguna Malaysia. Nescafe Latte Kelapa dilancarkan buat kali pertama di Malaysia dan merupakan kopi berperisa kelapa yang pertama di dunia.
"Kami turut melancarkan Milo Nutri G, produk yang mengandungi bijiran penuh. Fokus produk kami sentiasa bagi pelanggan Malaysia. Perkara yang penting dalam inovasi kami," Hofbauer berkata.
Katanya, inovasi terus menjadi peneraju penting di Nestle.
Produk hasil inovasi yang dilancarkan baru-baru ini ialah Milo Nutri G, Nescafe Blend & Brew, Kit Kat Teh Hijau, Nestle Omega Plus dan ais krim Mat Kool Butterfly, Le Cremeria dan beberapa perisa baharu mee segera, Maggi.
#Alois Hofbauer #Milo Nutri G #Nestle #peningkatan keuntungan selepas cukai
;