Nestle cadang ambil alih 100 peratus kepentingan ekuiti Wyeth Malaysia pada harga RM165 juta
Bernama
Februari 23, 2023 08:50 MYT
Februari 23, 2023 08:50 MYT
KUALA LUMPUR: Anak syarikat milik penuh Nestle (Malaysia) Bhd (Nestle Malaysia), Nestle Products Sdn Bhd telah memeterai perjanjian pembelian saham bersyarat dengan Wyeth (Hong Kong) Holding Company Ltd untuk memperoleh 100 peratus kepentingan ekuiti dalam Wyeth Nutrition (Malaysia) Sdn Bhd pada harga RM165 juta.
Cadangan pengambilalihan melibatkan 1.97 juta saham biasa dalam Wyeth Malaysia mewakili keseluruhan kepentingan ekuiti dalam syarikat itu.
Nestle Malaysia dalam makluman kepada Bursa Malaysia pada Rabu berkata pertimbangan pembelian bagi cadangan pengambilalihan tersebut akan dibiayai melalui dana yang dijana secara dalaman.
"Cadangan pengambilalihan itu mewakili satu langkah ke hadapan bagi syarikat daripada segi mengembangkan lagi perniagaannya dalam kategori pemakanan.
"Pengambilalihan ini akan memberikan Nestle Malaysia akses segera kepada perniagaan dan rangkaian Wyeth Malaysia yang dijangka membolehkannya mengembangkan penawaran produknya dan meningkatkan bahagian pasaran dalam segmen pemakanan," kata kumpulan itu.
Nestle Malaysia berkata melalui cadangan pengambilalihan dan penambahan jenama yang dibawa oleh Wyeth Malaysia seperti S-26, S-26 Gold, Ascenda, Promama dan Enercal Plus, Nestle Malaysia akan mempunyai pangkalan pelanggan yang lebih besar dan juga memperoleh kedudukan lebih tinggi dalam pasaran pemakanan premium.
Jenama yang dibawa oleh Wyeth Malaysia ini sudah mantap dan terkenal dalam pasaran pemakanan premium dan akan memberikannya asas yang kukuh untuk dibina serta memberikan peluang kepada kumpulan untuk pertumbuhan dan penciptaan nilai, katanya.
Menurutnya langkah itu akan memberi peluang kepada Nestle Malaysia untuk memanfaatkan sejarah Wyeth Malaysia yang kukuh dalam menyediakan produk pemakanan bayi berkualiti, ia telah dibina atas komitmen berterusannya untuk menghasilkan produk dirumuskan secara saintifik dan lengkap bernutrisi disesuaikan dengan keperluan khusus bayi dan kanak-kanak kecil.
"Sifat pelengkap operasi Kumpulan Nestle Malaysia dan Wyeth Malaysia akan membolehkan mereka bekerjasama dengan lancar dan berkesan, membolehkan kerjasama dan penyelarasan yang cekap dengan potensi untuk berkongsi sumber seperti tenaga kerja dan peralatan, ia akan membantu mengurangkan kos dan meningkatkan kecekapan.
"Ini akan membolehkan Nestle Malaysia menghasilkan nilai dengan cepat dan memanfaatkan peluang baharu untuk pertumbuhan," katanya.
Secara keseluruhannya, cadangan pengambilalihan itu merupakan langkah strategik yang akan membolehkan Nestle Malaysia mempelbagaikan aliran pendapatannya, mengembangkan penawaran produknya dan meningkatkan bahagian pasarannya dalam segmen pemakanan premium dan pelanggan, katanya.
-- BERNAMA