Negara Perikatan Pasifik mahu perkukuh kerjasama dengan Malaysia, ASEAN tahun depan

Bernama
Disember 9, 2024 17:59 MYT
Luis Javier Campuzano berkata perkumpulan Perikatan Pasifik yang diwujudkan pada 2011, menghimpunkan empat negara paling dinamik Amerika Selatan bagi menumpukan pasaran perdagangan bebas dan terbuka. - Bernama
KUALA LUMPUR: Negara-negara anggota Perikatan Pasifik merangkumi Chile, Colombia, Mexico dan Peru berharap dapat mengukuhkan kerjasama dengan ASEAN, perkumpulan yang menyerlah di Asia Pasifik, ketika kepengerusian Malaysia pada tahun depan.
Duta Besar Mexico ke Malaysia, Luis Javier Campuzano berkata perkumpulan Perikatan Pasifik yang diwujudkan pada 2011, menghimpunkan empat negara paling dinamik Amerika Selatan bagi menumpukan pasaran perdagangan bebas dan terbuka untuk mengukuhkan penyepaduan ekonomi, mengurangkan halangan, menggalakkan perdagangan, membuka saluran baharu perniagaan, pelaburan dan inovasi selain memupuk pembangunan serantau.
Beliau berkata secara bersama, ini mewakili lebih 230 juta orang dengan gabungan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) melebihi AS$3.7 trilion dan menjadikan Perikatan Pasifik sebagai pemain penting di pentas global sebagai ekonomi kelapan di peringkat dunia.
"Penekanan Perikatan Pasifik bagi mewujudkan pasaran terbuka dan inklusif, tidak hanya memberi manfaat kepada anggotanya dengan mengurangkan kemiskinan dan meningkatkan daya saing, namun turut menarik negara-negara dari serata dunia dan mengenal pasti kerjasama dengan blok kuasa ekonomi yang pesat membangun," katanya pada Seminar Peluang Perniagaan Dalam Perikatan Pasifik yang diadakan di kediamannya, baru-baru ini.
Hadir sama, Timbalan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Liew Chin Tong serta barisan duta yang mewakili negara Perikatan Pasifik berkenaan.
Campuzano berkata menerusi usaha kerjasama dalam bidang seperti pendidikan, infrastruktur dan kemampanan, Perikatan Pasifik juga mahu membina masa depan kemakmuran dan daya tahan bersama serta mengukuhkan kedudukannya dalam ekonomi global.
Mengulas hubungan Mexico-Malaysia, beliau berkata kedua-dua negara bekerjasama dalam bidang seperti segmen alat ganti automotif, komponen elektrik dan elektronik, peranti perubatan, ekonomi digital, e-dagang, aeroangkasa serta industri tenaga.
Beliau juga menyifatkan sektor yang dinamik dan berkembang di kedua-dua negara juga mampu meraih manfaat daripada kerjasama selanjutnya.
Sementara itu, Duta Besar Colombia ke Malaysia, Alejandro Rosselli Londoño menerusi pembentangannya, berkongsi keterujaan Colombia untuk menjalin kerjasama dengan Malaysia dalam sektor keterjaminan makanan.
"Di peringkat global misalnya, Colombia merupakan pengeksport utama kopi Arabica; kedua dari segi kopi hijau (belum dipanggang), keempat bagi pisang dan keenam pengeksport buah-buahan segar," katanya.
Bagi aspek mobiliti pula, sebanyak 300 rakyat Malaysia mengunjungi Colombia pada 2023 manakala sehingga awal Disember 2024, dianggarkan 1,000 rakyat Malaysia melawat Colombia, Peru dan Chile.
Dalam pada itu, Duta Besar Peru ke Malaysia, Ricardo Morote berkata lawatan rasmi Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ke negara itu pada bulan lepas menjadi titik perubahan dalam hubungan dua hala yang disifatkan beliau akan berdaya tahan, makmur serta saling memberi manfaat.
Peru dan Malaysia juga, katanya, menyaksikan peningkatan ketara perdagangan dua hala sebanyak 49 peratus tahun ke tahun bagi tempoh sembilan bulan pertama 2024 sejak kedua-dua negara menyertai Perjanjian Komprehensif dan Progresif bagi Perkongsian Trans-Pasifik (CPTPP).
Sektor yang mempunyai potensi perdagangan dan pelaburan terbesar termasuk tenaga boleh baharu, elektrik dan elektronik serta eksport pertanian halal, katanya.
"Syarikat halal Malaysia boleh mencari rakan kerjasama di Peru untuk melabur dalam industri pertanian dan makanan," katanya.
Ini termasuk peranan strategik Pelabuhan Chancay dalam meningkatkan hubungan dua hala dengan Asia.
Duta Besar Chile ke Malaysia Jaime Muñoz Sandoval berkata negaranya menjadi pengerusi perikatan itu sehingga 13 Disember ini dan seterusnya akan diambil alih oleh Colombia.
Beliau berkata tiga anggota Perikatan Pasifik iaitu Chile, Peru dan Mexico juga merupakan negara anggota CPTPP bersama dengan Malaysia.
Perjanjian itu antara lainnya merangkumi aspek galakan ketelusan dan usaha antirasuah dalam kedua-dua sektor awam dan swasta.
"Prinsip-prinsip ini adalah teras kepada fungsi perjanjian dan pelaksanaannya bagi meningkatkan keadilan, mengurangkan rasuah serta memastikan amalan beretika dalam perniagaan dan tadbir urus," katanya.
-- BERNAMA
#perikatan pasifik #kerjasama #ASEAN #Chile #Colombia #Mexico #Peru
;