Negara Islam jangan terlalu bergantung dolar AS - Dr Mahathir

Firdaus Azil
Disember 19, 2019 18:24 MYT
DR MAHATHIR: Antara kerjasama yang beliau gariskan termasuk mewujudkan mata wang kripto Islam dengan kerjasama bank-bank pusat negara masing-masing. - Foto Astro AWANI/SHAHIR OMAR
Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad menyambut baik saranan Iran agar diwujudkan matawang kripto dengan kerjasama bank pusat negara masing-masing.
Malah, kata Pengerusi Sidang Kemuncak Kuala Lumpur 2019 (KL Summit 2019) itu, perkara itu beliau sendiri pernah suarakan pada satu masa dahulu, bagi mengekang penguasaan matawang dolar AS ke atas negara yang sedang membangun.
“Kita telah mencadangkan ini lama dahulu, kita tidak perlu menggunakan dolar AS selalu sangat. Bila kita (selalu) gunakan AS Dollar, apabila ada sekatan dibuat, ia akan menjejaskan pertumbuhan ekonomi kita.
“Jadi Ini kita dengar buat kali pertama, Iran dan Tukri berpendapat kalau kita tiada dolar AS kita boleh guna currency kita sendiri atau common currency,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri sidang meja bulat sempena KL Summit 2019, di sini hari ini.
Turut menyertai sesi itu ialah Presiden Turki Recep Tayyip Erdogan, Presiden Iran Dr Hassan Rouhani, serta beberapa wakil negara lain dari Uzbekistan, Mauritania, dan Rusia.
Pada sesi itu, Rouhani menyatakan kesediaan Iran untuk bekerjasama dengan negara Islam lain dalam membangunkan ekonomi digital dan kecerdasan buatan (AI).
Antara kerjasama yang beliau gariskan termasuk mewujudkan mata wang kripto Islam dengan kerjasama bank-bank pusat negara masing-masing.
Mengulas lanjut, Dr Mahathir berkata, banyak perkara yang boleh negara Islam, terutamanya Malaysia pelajari dari Iran dan Turki.
“Kita lihat Turki banyak kuasai teknologi moden, demikian juga Iran. Kita tak banyak tahu berkenaan dengan iran, tetapi mereka punyai kelebihan dalam bidang sains, kejuruteraan, dan sebagainya.
“Ilmu yang disebut Iran, umpamanya sains, teknologi, dan lain-lain, nampaknya mereka agak moden dan sudah maju jauh ke hadapan dalam bidang ini. Dan kita boleh tukar pandangan pelajaran daripada mereka,” katanya lagi.
#dolar amerika #Hassan Rouhani #hegemoni #Iran #mata wang kripto #Recep Tayyip Erdogan #Ringgit Malaysia #sidang kemuncak KL 2019 #Turki
;