Nazir Razak gesa penyatuan institusi kewangan pembangunan
Bernama
September 30, 2021 12:45 MYT
September 30, 2021 12:45 MYT
KUALA LUMPUR: Pengerusi Bank Pembangunan Malaysia Bhd (BPMB) Datuk Seri Nazir Razak menggesa langkah konsolidasi atau penyatuan institusi-institusi kewangan pembangunan (DFI) negara ini dilaksanakan berikutan kewujudan terlalu banyak DFI berskala kecil yang melibatkan pertindihan mandat.
Malah, beliau menyifatkan jumlah DFI dan pertindihan mandat berkenaan sebagai antara masalah ekonomi yang dihadapi Malaysia.
"Transformasi sektor tersebut sudah lama tertangguh. Sejak berlakunya krisis kewangan Asia, kita telah dapat mentransformasi pasaran modal, syarikat berkaitan kerajaan, sistem perbankan dan tadbir urus sektor korporat.
"Namun tidak banyak yang dilakukan dari segi (perubahan) DFI ini," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis pemeteraian perjanjian antara BPMB, Credit Guarantee Corporation Malaysia Bhd (CGC) dan Menteri Kewangan (Diperbadankan) secara maya hari ini yang menyaksikan BPMB mengambil alih 100 peratus saham Danajamin Nasional Bhd.
Menurut Nazir, krisis ekonomi dan kesihatan akibat pandemik COVID-19 juga membuktikan bahawa DFI tidak cukup kukuh untuk menyalurkan sokongan tindak balas kitaran yang berkesan untuk membantu perniagaan mahupun ekonomi.
Menurutnya, selain pinjaman dalam bentuk tindak balas kitaran, usaha pengukuhan DFI Malaysia akan turut mempertingkat kemampuan institusi kewangan untuk menyokong pembangunan ekonomi negara dengan menyalurkan modal kepada peminjam yang tidak mendapat layanan bank-bank swasta, menyediakan modal bersubsidi untuk sektor-sektor utama dan penumpuan modal swasta bagi segmen utama ekonomi.
"BPMB amat menyokong penuh usaha-usaha kerajaan dan akan bekerjasama dengan semua pihak berkepentingan untuk mencapai matlamat mewujudkan sektor DFI yang lebih kukuh.
"Selain kemungkinan pelaksanaan langkah penyatuan (DFI) seterusnya, saya turut menyarankan supaya diwujudkan pengukur prestasi keseluruhan, tadbir urus dan rangka kerja pengurusan bakat secara menyeluruh," katanya.
Mengulas langkah pengambilalihan itu, beliau berkata sejajar kedudukan sebagai penyedia insurans jaminan kewangan pertama Malaysia, Danajamin akan melengkapkan tawaran produk dan perniagaan sedia ada BPMB.
Menurutnya, sinergi itu juga dapat memberi manfaat kepada perniagaan Malaysia selain meningkatkan akses terhadap pasaran modal serta modal secara amnya.
-- BERNAMA