Nazir Razak dilantik Pengerusi ASEAN-BAC, Tony Fernandes, Lim Chern Yuan sebagai Ahli Majlis
Bernama
Februari 27, 2023 16:22 MYT
Februari 27, 2023 16:22 MYT
KUALA LUMPUR: Majlis Penasihat Perniagaan ASEAN (ASEAN-BAC) Malaysia mengumumkan pelantikan Tan Sri Nazir Razak, pengerusi dan pengasas bersama Ikhlas Capital, sebagai pengerusinya bagi tempoh 2023-2026.
Dalam satu kenyataan hari ini, majlis itu turut mengumumkan pelantikan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Capital A Bhd Tan Sri Tony Fernandes dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Yinson Holdings Bhd Lim Chern Yuan sebagai ahli majlis bagi tempoh yang sama.
"Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Perdana Menteri, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, dan kerajaan Malaysia atas pelantikan ini.
"ASEAN-BAC Malaysia akan terus menjadi rakan kongsi penting dalam menyokong pelbagai usaha Asean Malaysia (dan) akan menggunakan masa penting yang ada sebelum Malaysia menjadi Pengerusi ASEAN pada 2025 untuk mengukuhkan hubungan strategik dan perantara antara sektor swasta, kerajaan dan organisasi ASEAN," kata Nazir.
Majlis itu diberi mandat oleh pemimpin ASEAN untuk memberikan maklum balas sektor swasta dan panduan bagi meningkatkan usaha ASEAN ke arah integrasi ekonomi sejak 2003, manakala ahli majlis dilantik oleh kementerian yang bertanggungjawab dan terdiri daripada ketua pegawai eksekutif peringkat tertinggi syarikat dari setiap negara anggota.
ASEAN-BAC Malaysia sebelum ini dipengerusikan oleh Tan Sri Dr Munir Majid, pengerusi CARI Asean Research and Advocacy, dengan Tan Sri Yong Poh Kon, pengerusi Royal Selangor International Sdn Bhd dan Raja Singham, pengasas bersama dan pengarah urusan BAC Education Group, sebagai ahli majlis.
-- BERNAMA