Naza yakin capai sasaran untuk tahun 2013
Bernama
Julai 26, 2013 13:20 MYT
Julai 26, 2013 13:20 MYT
Naza Automotive Manufacturing Sdn Bhd (Naza) yakin mencapai sasaran memasang 17,300 unit kereta pelbagai jenama di kilangnya di kawasan Perindustrian Gurun di sini pada tahun 2013, walau pun berhadapan kekurangan 200 orang pekerja.
Ketua Pegawai Operasinya, Roslan Abd Ghani berkata 905 orang pekerja yang ada sekarang mampu melaksanakan tanggung jawab dengan licin, dengan mengekalkan kualiti kereta yang dipasang.
Beliau berkata langkah pengurangan pekerja, terutama di bahagian pemasangan dilaksanakan secara berperingkat-peringkat sebagai langkah mengurangkan kos, namun kelicinan dan keberkesanan tenaga kerjanya masih dikekalkan.
"Tahun lepas, kami memasang 17,172 unit model Kia dan Peugeot untuk dipasarkan dan tahun ini sasaran kami hanya (tambahan) 300 unit lagi," katanya kepada pemberita semasa ditemui pada majlis berbuka puasa dan penyampaian sumbangan Naza Automotive di sini petang semalam.
Pada majlis itu, Pertubuhan Asuhan dan Didikan Anak-Anak Yatim Islam Sik, Pertubuhan Kebajikan Anak-Anak Yatim Miskin Al-Wadi Kupang, Baling, Maahad Tafiz al-Barakah, Tikam Batu dan Pertubuhan Kebajikan Islam (Perkim) Kuala Muda menerima sumbangan wang tunai yang disampaikan Ahli Lembaga Pengarah Kumpulan Naza, Puan Sri Zaleha Ismail.
Zaleha turut menyampaikan duit raya kepada 130 orang fakir miskin, warga emas, ibu tunggal yang tinggal di sekitar Gurun serta anak-anak yatim dari kedua-dua pertubuhan anak-anak yatim itu.
Menurut Roslan operasi kilang Naza diaudit setiap enam bulan sekali oleh prinsipal pembuat kereta yang dipasangnya iaitu Kia Korea dan Peugeot dari Perancis untuk memastikan semua syarat dipatuhi bagi menjamin kualiti kereta.
Di samping itu, pembuat Peugeot dan Citreon menempatkan dua jurutera kanannya bagi membantu menyelesaikan masalah teknikal dan seorang oleh Kia, katanya.
Katanya Naza yang dilantik sebagai francais kereta Citreon empat bulan lepas akan membawa masuk satu lagi model, iaitu DS3 yang lebih kecil setelah memasarkan DS4 (1.6 cc) dan DS5 (2.0 cc) sebelum akhir tahun ini.
Naza turut memasarkan model Peugeot yang dipasang di Gurun ke Singapura, Thailand dan Indonesia.
Selain itu, Roslan berkata model baharu Kia Serato mendapat sambutan memberangsangkan dari orang ramai yang telah menempah lebih 1,000 unit sejak dilancarkan 2 Julai lepas.
Model 2.0 cc dijual pada harga RM118,888 manakala RM99,888 untuk model 1.6 cc.