Naza Italia akan buka bilik pameran Ferrari City dalam September

Bernama
Julai 20, 2017 17:53 MYT
Pemilik Ferrari akan dapat menyertai aktiviti gaya hidup yang dicipta khusus bagi komuniti Ferrari, kata Ketua Pegawai Operasi Naza Italia. - Bernama
Naza Italia, pengimport rasmi tunggal dan pengedar kereta Ferrari di Malaysia akan membuka bilik pameran Ferrari City di Naza Platinum Park menjelang akhir September depan.
Ketua Pegawai Operasi Naza Italia, Farid Sulaiman berkata kemudahan bernilai RM3 juta itu akan mempamerkan model terbaharu Ferrari dan menjadi sebahagian daripada strategi syarikat untuk meningkatkan kehadiran jenama Ferrari di kawasan metropolitan itu.
"Kami tidak akan menjual kereta, kami menjual mimpi, jadi kami perlu memberikan pengalaman pemilikan secara menyeluruh.
"Pemilik Ferrari akan dapat menyertai aktiviti gaya hidup yang dicipta khusus bagi komuniti Ferrari," katanya pada sidang media bersempena dengan Sambutan Ulang Tahun ke-70 Ferrari dan pelancaran model edisi terhad, LaFerrari Aperta di sini hari ini.
Model tanpa bumbung daripada genetik "supercar" LaFerrari itu hanya akan dikeluarkan sebanyak 209 buah sahaja bagi meraikan ulang tahun Ferrari ke-70.
"Inilah adalah kereta hibrid pertama yang diperkenalkan oleh Ferrari," katanya.
Kereta tersebut hanya boleh dibeli melalui jemputan kepada pelanggan setia dan mereka yang pernah membeli sehingga enam Ferrari di atas nama mereka.
LaFerrari berharga RM6.8 juta, tidak termasuk duti dan opsyen, ia dipacu oleh enjin 6,266 cc V12 dan mampu membuat pecutan pada tiga saat untuk mencecah 100 meter.
-- BERNAMA
#Ferrari #ferrari city #kereta #Malaysia #model #naza italia #operasi
;