Najib umum liberalisasi tambahan untuk galak pelaburan

Bernama
Jun 9, 2014 12:54 MYT
Najib umum liberalisasi tambahan untuk galak pelaburan
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini mengumumkan liberalisasi lanjutan bagi mempromosi pelaburan dalam spektrum aset yang lebih luas serta pembangunan kapasiti.
Najib yang juga Menteri Kewangan berkata Malaysia menyasarkan untuk mengukuhkan lagi pasaran modalnya, supaya dapat berperanan sebagai pemangkin pertumbuhan jangka panjang domestik dan serantau yang berkekalan.
Beliau mengumumkan syarat mandatori penarafan kredit akan dimansuhkan berkuat kuasa 1 Jan, 2017 bagi meluaskan lagi pasaran bon korporat dan membolehkan pelabur meningkatkan lagi kepelbagaian portfolio masing-masing.
"Pendekatan berperingkat-peringkat diguna pakai bagi memberikan masa yang mencukupi untuk penggiat industri memperhalus mekanisme yang perlu untuk beroperasi dalam regim baharu itu," kata Najib.
Najib berkata demikian dalam ucaptama pada Invest Malaysia 2014, selama dua hari mulai hari ini.
Fleksibiliti akan diberikan ke atas penarafan kedit dan kebolehpasaran bon dan sukuk yang tidak diberikan penarafan mulai 1 Jan, 2015, kata Najib.
Pemegangan ekuiti bagi agensi penarafan kredit juga akan diliberalisasikan dan agensi penarafan kredit asing yang mempunyai pemilikan asing sepenuhnya akan dibenarkan beroperasi dalam pasaran Malaysia mulai 1 Jan, 2017.
"Matlamatnya, liberalisasi ini akan membolehkan pasaran bon Malaysia menjadi lebih menguntungkan dari segi kos selain sebagai platform pembiayaan jangka panjang yang menarik," katanya.
Pemegangan ekuiti untuk syarikat pengurusan unit amanah juga akan diliberalisasikan dalam semangat Komuniti Ekonomi Asean, dan bagi menggalakkan lagi pertumbuhan dan persaingan dalam industri unit amanah, katanya.
"Berkuat kuasa serta merta, perbadanan asing akan dibenarkan memiliki 100 peratus saham dalam syarikat pengurusan unit amanah, dan tidak ada halangan lagi untuk syarikat pengurusan unit amanah asing haharu memasuki pasaran Malaysia.
"Kami yakin langkah ini akan meluaskan lagi penawaran produk kompetitif kepada pelabur, dan meningkatkan persaingan dalam sektor ini," kata Najib.
Beliau berkata Suruhanjaya Sekuriti, bersama badan profesional dan pemegang kepentingan yang lain, sedang meneroka peluang untuk meningkatkan kualiti maklumat yang tersedia dalam pasaran modal.
"Antara pilihan yang sedang ditimbang ialah memperkenal pelaporan bersepadu, satu pendekatan yang sudah pun digunakan pakai oleh beberapa perbadanan multinasional," kata Najib.
Beliau berkata pasaran kewangan Malaysia boleh dan akan membantu memacu penyepaduan serantau menjelang pelaksanaan Komuniti Ekonomi Asean.
"Dalam konteks ini, kamu menyambut baik usaha sama - seperti siri baharu Indeks Asean yang ditawarkan sekarang, yang dilaksanakan oleh kumpulan tujuh bursa serantau - yang akan membantu kita menyediakan asas untuk pertumbuhan serantau yang lebih baik," katanya.
#Menteri Kewangan #Najib Razak